Kedatangan Ramadan
yang penuh keberkatan pastinya paling dinanti-nantikan seluruh umat Islam
seluruh dunia. Ini kerana penghulu segala bulan ini bukan sahaja memberi
peluang kepada kita memperbanyakkan amalan, menahan hawa nafsu, lapar dan
dahaga tetapi juga melatih kita bersederhana dalam serba serbi.
Namun, seakan menjadi
kebiasaan masyarakat kita, apabila tiba bulan Ramadan tabiat berbelanja secara
berlebihan terutama ketika membeli juadah berbuka dilihat begitu ketara. Apa
tidaknya, hampir semua juadah di pasar Ramadan terasa mahu dibeli walaupun pada
akhirnya tidak habis dimakan dan dibazirkan begitu saja.
Ramadan adalah bulan
paling sesuai mendidik diri seseorang itu supaya sentiasa insaf dan mengawal
diri serta hawa nafsu. Dalam menjalani kehidupan seharian, kejayaan dan
kenikmatan hidup pasti memihak kepada mereka yang sentiasa beringat dan
berhati-hati ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran terutama melibatkan
soal makanan.
Dalam Islam sendiri
setiap umatnya disuruh supaya bersederhana, tidak bermegah-megah dengan apa
yang ada dan lebih pentingnya, kualiti hidup perlu ditingkatkan walau dalam apa
keadaan sekalipun apatah lagi dalam senario yang dihadapi masyarakat hari ini,
termasuk kenaikan harga barang.
Ramai yang menganggap
bulan puasa ialah bulan merajakan nafsu makan. Lihat sahaja di bazar-bazar Ramadan,
aneka lauk pauk dan kuih muih yang dijual mengundang setiap individu
mengunjunginya saban petang menjelang berbuka.
Aneka juadah itu
sudah tentu membangkitkan nafsu makan dan mendorong seseorang menjadi tamak.
Keinginan untuk membeli itu dan ini yang sudah tentu semuanya kelihatan enak
dan menarik belaka. Namun, setakat manakah kemampuan kita menghabiskan juadah
yang dibeli?’’
Amalan tersebut
akibat kegagalan seseorang itu mengawal hawa nafsu yang beraja di hati. Jika erti Ramadan itu sendiri dihayati dan difahami tidak mungkin perkara
seumpama itu berlaku.
Sememangnya bazar
Ramadan menjual pelbagai jenis juadah enak yang membuatkan kita rambang mata.
Langkah terbaik ialah kita membuat perancangan awal mengenai jenis juadah
apakah yang ingin kita hidangkan kepada keluarga semasa berbuka puasa nanti.
Jika pada bulan biasa
menjadi kelaziman seseorang ke kantin untuk menikmati sarapan, makan tengah
hari atau minum petang, tetapi berbeza sepanjang Ramadan di mana aktiviti
tersebut tidak dilakukan dan sekali gus kos perbelanjaan dapat dikurangkan.
Kita hanya memikirkan
kos untuk berbuka puasa dan bersahur sahaja. Jika benar-benar dipraktikkan,
insya-Allah tidak akan timbul masalah sesetengah daripada kita yang mendakwa
kos yang terpaksa dikeluarkan sepanjang Ramadan lebih tinggi daripada bulan
biasa.
Apakah yang penting
kebijaksanaan seseorang mengawal perbelanjaan sepanjang bulan
Ramadan.
No comments:
Post a Comment