Ketika Allah mula menyatakan ingin menciptakan Adam
dan dilantik sebagai khalifah di muka bumi, maka usul itu dibantah oleh para
malaikat. Bantahan malaikat tersebut bukan tanda ingkar, tetapi menzahirkan
pendapat mereka tentang siapa lebih layak.
Malaikat merasakan dirinya lebih layak bagi
mengelak kemungkinan berlaku lagi kemusnahan di muka bumi seperti dilakukan
oleh al-Bun. Malaikat mendakwa dirinya
dari jenis hamba yang taat dan tidak mungkin melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan perintah Allah.
Allah berfirman maksudnya: “Ingatlah ketika
Tuhanmu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang
khalifah di muka bumi. Maka mereka
(malaikat) berkata: Mengapa Engkau ingin jadikan (khalifah) di muka bumi itu
orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, pada hal kami
sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui
apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30).
Namun, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa
menciptakan apa diingin-Nya. Allah tetap
mencipta Adam untuk dilantik sebagai khalifah di muka bumi. Maka, Allah memanggil seluruh malaikat dan
jin untuk sujud (menghormati) Adam. Biarpun pada mulanya malaikat membantah, tetapi sebagai hamba yang taat,
semua malaikat sujud kecuali iblis.
Iblis enggan sujud kepada Adam kerana merasakan
dirinya lebih mulia dan lebih utama dan agung daripada Adam. Justeru, tidak wajar baginya sujud kepada
Adam yang dianggap lebih rendah darjatnya.
Iblis merasakan dirinya lebih mulia disebabkan
dijadikan daripada bahan lebih mulia, yakni api. Sedangkan Adam diciptakan daripada tanah
lumpur yang berbau.
Tambahan, iblis terlebih dahulu dicipta dan pernah
dilantik mengetuai angkatan memerangi al-Bun, dan ternyata dirinya hebat
berjaya menjalankan tanggungjawab itu. Bahkan, iblis telah banyak melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah
sebelum itu. Secara lojiknya, iblis
berpendapat dialah yang layak dan sepatutnya menjadi khalifah di muka
bumi.
Keengganan dan bantahan iblis diceritakan Allah
dalam firman-Nya bermaksud: “Allah berfirman: Apakah yang menghalangmu untuk
sujud kepada Adam di kala Aku menyuruhmu? Iblis menjawab: “Bukankah aku lebih mulia daripada dia (Adam). Aku dicipta daripada api, sedangkan dia
diciptakan daripada tanah.” (Surah al-Araf, ayat 12).
Kejadian manusia daripada tanah dijelaskan Allah
dalam firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia
dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.”
(Surah al-Hijr, ayat 26).
Sikap iblis yang sombong enggan sujud kepada Adam
seperti diperintahkan telah menyebabkan dia tergolong hamba yang ingkar dan
terkutuk sepanjang hayat.
Hal ini dijelaskan Allah dalam firman bermaksud:
“Keluarlah kau dari sini. Kau orang yang
terkutuk. Kau akan Aku kutuk terus
sampai hari pembalasan.” (Surah Shad, ayat 77 - 78).
Iblis yang angkuh sanggup menerima segala
pembalasan itu. Dendamnya terhadap Adam
amat kuat. Lantas, iblis memohon kepada
Allah agar dirinya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat bertujuan untuk
menyesatkan Adam dan seluruh cucu cicit Adam.
No comments:
Post a Comment