Pemimpin berjiwa besar teguh memperjuangkan prinsip dan tidak mudah tunduk kepada sebarang bentuk tekanan. Apa saja yang dilakukan berpaksikan kepada keyakinan bahawa tindakan itu bakal membawa kebaikan bukan saja kepada dirinya, tetapi lebih penting kepada agama, bangsa dan negara.
Pemimpin yang baik dituruti dan dipatuhi akan kepimpinannya disebabkan
apa yang dilakukan itu adalah benar dan membawa kepada kebaikan. Orang yang menuruti dan mentaatinya melakukan bukan
kerana takut, tetapi disebabkan yakin bahawa pemimpin itu benar dan berwibawa.
Pemimpin yang berjiwa besar tidak malu meminta maaf dan mengaku
kesalahan yang telah dilakukan. Pemimpin
berjiwa besar bersedia ditegur dan menerima apa-apa cadangan untuk memperbaiki sebarang
kelemahan diri.
Hanya mereka berjiwa besar layak menjadi pemimpin.
Satu
perkara perlu diingat, jawatan pemimpin bukan mudah dilaksanakan. Persoalannya,
mengapa jawatan pemimpin menjadi rebutan? Sedangkan menjadi pemimpin
bukan mudah. Sesiapa memahami beban tugas yang terpaksa ditanggung
pemimpin, sudah tentu tidak ada orang sanggup berebut menjadi pemimpin.
Pemimpin melaksanakan tanggunajawab yang besar dan hanya
mereka yang berkebolehan layak untuk dilantik menjadi pemimpin.
Ibnu Taimiyyah berkata: “Wajib diketahui bahawa melantik
pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajiban agama yang besar. Urusan
keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin).
Keperluan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpun mereka
(masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling
memerlukan di antara satu dengan yang lainnya.
Elok kita
menoleh sejarah atau peristiwa untuk memahami sikap mereka yang beriman dan
memahami betapa berat tugas terpaksa ditanggung oleh pemimpin, bukan saja di
dunia bahkan lebih-lebih lagi apabila dihisab di akhirat kelak.
Peristiwa
itu berlaku ketika Khalifah Umar Abdul Aziz diumumkan menjadi khalifah Bani
Ummaiyah menggantikan Khalifah Sulaiman Abdul
Malik.
Umar
terkejut apabila wasiat menyebut dirinya sebagai pengganti khalifah, lalu
berkata: “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama
ada secara rahsia mahu pun terang-terang.” Lalu dia menaiki mimbar
dan berucap kepada hadirin.
Katanya:
“Wahai manusia! Sesungguhnya aku dibebani tugas ini tanpa diminta
pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri
dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya
aku kini membebaskan saudara sekalian daripada baiah (ikrar ketaatan) yang
terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah
sesiapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas.”
Umar tidak
terus menerima wasiat melantiknya menjadi khalifah. Sebaliknya
meminta agar diadakan pemilihan secara terbuka. Dia bersetuju
menjadi khalifah hanya setelah tidak ada percalonan lain dan pemilihannya
dibuat sebulat suara.
Selepas itu
beliau terus berpidato yang antara lain katanya: “Taatlah kamu kepadaku selagi
aku taat kepada Allah. Jika aku menderhakai Allah, maka kamu tidak
lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku
memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk
saudara sekalian.”
Sikap Umar
itu adalah lambang orang beriman yang sedar betapa jawatan pemimpin bukan satu
perkara untuk kebaikan diri, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu
dipikul.
No comments:
Post a Comment