Sunday 10 June 2018

APAKAH HUKUM LELAKI PAKAI CINCIN SUASA

Bolehkah seorang lelaki memakai cincin suasa? Persoalan ini timbul kerana suasa ada mengandungi unsur emas.  
 
Suasa adalah pancalogam, iaitu campuran di antara emas dan tembaga. Makanya, cincin suasa adalah cincin yang mana bahannya diperbuat daripada campuran emas dan tembaga. 

Sedangkan telah diketahui umum, orang lelaki Islam diharamkan menggunakan atau memakai emas sebagai perhiasan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Nabi SAW telah bersabda: "Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan di kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki." (Riwayat al-Nasai (5148)

Mengetahui akan keharaman bagi lelaki untuk mengambil emas sebagai perhiasan, maka begitu juga dengan memakai cincin emas bagi lelaki bahkan pengharamannya jelas melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah: "Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas." (Riwayat Muslim (2089)

Larangan serta ancaman terhadap lelaki yang memakai cincin emas telah sabit di dalam hadis Nabi SAW dan cukup baginya untuk mengatakan haram bagi lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas.

Penjelasan berkenaan cincin suasa itu adalah cincin yang diperbuat daripada campuran emas dan juga tembaga. Ini menjadikan komposisi cincin tersebut bukanlah diperbuat daripada emas semata-mata bahkan terdapat campuran jenis logam yang lain.

Suasa ini mempunyai peratusan komposisinya yang tersendiri. Secara umumnya boleh dikatakan bagi membuat cincin suasa, ianya adalah hasil campuran (secara kasar) 70% tembaga, 20% emas dan 10% perak. Kadar ini dicampurkan dengan kaedah yang tertentu lalu menghasilkan suasa.

Bagaimanakah pandangan para ulama terhadap sesuatu barang yang terhasil daripada campuran emas dan juga bahan yang lain?

Di dalam mazhab Syafie, bagi jenis logam yang disadur dengan emas, Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmu`: Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan dicampur, disadur (menggunakan api) dengan emas atau pedang yang disadur ataupun selainnya dari alatan perang dengan emas, sekiranya dileburkan kembali di atas api lalu masih dapat dikesan emasnya maka hukumnya haram secara kesepakatan.

Sekiranya tidak dapat dikesan lagi emas tersebut maka ada dua jalan (yang paling sahih di antara keduanya) dan dengannya diputuskan oleh ulama al-Iraq adalah haram berdasarkan hadis. 
 
Padanya terdapat dua pendapat oleh al-Baghawi dan juga seluruh ulama al-Khurasan atau jumhur dari kalangan mereka yang mana salah satunya (haram) dan (keduanya) dibenarkan kerana ianya dihukumkan seperti tiada (emas tersebut selepas dilebur kembali).

Kesimpulan. Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, bahawa pemakaian cincin suasa bagi lelaki adalah haram dan tidak dibolehkan. Ini berdasarkan hadis yang telah sebutkan pada perbincangan di atas yang mana dengan jelas Nabi SAW menyebut akan pengharamannya ke atas lelaki untuk diambil menjadikan perhiasan.

Dalam menentukan kaedah hukum, apabila berkumpul perkara halal dan haram maka perkara haram akan lebih menguasai. (Al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Imam al-Suyuti Rahimahullah. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, hlm. 105)

Komposisi cincin suasa yang mengandungi peratusan tertentu emas menjadikan ianya juga dikira terdapat emas di dalamnya meskipun setelah diadun dengan bahan-bahan yang lain.

Pengharamannya juga berdasarkan keadaan di mana sekiranya cincin suasa itu dileburkan kembali, jika dapat dikesan kembali emasnya itu maka hukumnya haram. Begitu juga sekiranya jika setelah dilebur, tidak dapat dikesan lagi emasnya (istihlak), maka yang paling sahih seperti mana dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi adalah haram juga hukumnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Emas dan sutra dihalalkan bagi umatku yang wanita, namun haram bagi lelakinya” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Rasulullah SAW pernah bertemu seorang lelaki yang memakai cincin emas di tangannya. Beliau mencabut cincin tersebut lalu melemparnya, kemudian bersabda: “Seseorang dari kalian telah sengaja mengambil bara api neraka dengan meletakkan di tangannya” (Hadis riwayat Muslim)

Islam membenarkan lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak bahkan cincin Nabi SAW juga diperbuat daripada perak. Maka pilihlah yang dibenarkan oleh syarak dan jauhilah perkara syubhat.

Penggunaan emas oleh lelaki dibenarkan untuk keperluan yang mana 'darurat' atau satu kepeluan khusus yang mana tidak boleh menggunakan bahan lain.

Sebuah hadis bermaksud: (Arjafah bin Asad) hidungnya terpotong di hari peperangan Al-Kullab, maka dia membuat hidung dari daun namun daun itu berbau dan mengganggu dirinya, maka Nabi memerintahkannya untuk mengganti dengan yang terbuat dari emas. (Hadis riwayat  Abu Daud. Al-Albani mengatakan hadisnya hasan)

Mengenai logam lain seperti besi, tembaga dan seumpamanya, tidak ada nas yang mengharamkan pemakaiannya sama ada untuk lelaki maupun perempuan.

No comments:

Post a Comment