Thursday, 29 July 2021

PERBEZAAN IKAN BEKOK DENGAN IKAN KERING

 
Di Kelantan terkenal dengan ikan proses dikenali ikan bekok atau ike bekok. Sekali pandang sebenar ia tidak banyak beza dengan ikan kering biasa. 
 
Sebab itu, sebelum ikan bekok menjadi tular, ia hanya dikenali di kalangan penduduk pesisir pantai dapat membezakan antara ikan bekok dengan ikan kering. 
 
Namun sejak ikan bekok mula tular, peminatnya mula dapat membezakan ciri-ciri ikan bekok dengan ikan kering. 
 
Ikan bekok merujuk kepada ikan yang diproses hasil rendaman bersama garam semalaman sebelum dijemur selama empat jam di bawah sinar matahari. 
 
Ikan bekok dihasilkan daripada pelbagai jenis ikan, namum paling mendapat permintaan ialah ikan bekok gelama, ikan bekok cencaru atau ikan bekok konge dan ikan bekok kerisi. 
 
Ikan yang henak dijadikan ikan bekok perlu pilih ikan besar, biasanya yang berat 200 gram ke atas baharu sedap. 
 
Ikan bekok kurang masin, isinya lembut dan bukannya kering macam ikan kering. 
 
Memandangkan ikan bekok tidak kering sepenuhnya, semasa menggoreng ikan bekok menghasilkan aroma menusuk hidung yang membangkitkan selera. 
 
Dengan kata lain, ikan bekok bukan sejanis atau spesis ikan, tetapi ikan yang telah diproses. 
 
Ikan bekok seakan-akan seperti ikan kering. Namun ciri-ciri utama ikan bekok ialah ia tidak kering sepenuhnya seperti ikan kering. 
 
Keadaan isi ikan yang masih tidak sepenuhnya kering dan mengandungi air itu dinamakan bekok dalam istilah dialek Kelantan. 
 
Selain itu maksud 'bekok' juga adalah perbuatan memerap atau merendam sesuatu di dalam air untuk tempoh sekejap untuk agar air meresap masuk. 
 
Inilah proses membuat atau menghasilkan ikan bekok yang mana ikan yang telah disiang dan dibersihkan akan diredam selama beberapa jam di dalam air garam. Air garam itu akan meresap masuk ke dalam isi ikan. 
 
Maka, nama ikan bekok diambil dari dua sebab iaitu keadaan ikan yang tidak sepenuhnya kering dan masih membengkak, dan sebab kedua ialah proses merendam sekejap. 
 
Namun, nama ikan bekok lebih tepat merujuk kepada keadaan yang pertama iaitu tidak sepenuhnya kering dan masih membengkak. 
 
Nama ikan bekok perlu diguna untuk membezakan dengan ikan kering yang sepenuhnya berada dalam keadaan kering. 
 
Pengusaha terawal mengusahakan ikan bekok secara komersial ialah penduduk di Kampung Genting, Tumpat, Kelantan. Sebab itu, Kampung Genting Sinonin dengan jolokan kampung ikan bekok.

No comments:

Post a Comment