Thursday 5 August 2021

BOM ATOM MUSNAHKAN HIROSHIMA DAN NAGASAKI

 
Pada 6 Ogos 1945 bandar Hiroshima, Jepun telah dibom oleh Amerika Syarikat. Bom nuklear yang menjadikan Hiroshima padang jarak padang terkukur dinamakan Little Boy. 
 
Manakala, nasib sama dialami satu lagi bandar raya di Jepun ialah Nagasaki, Bezanya hanya pada tarikh iaitu pada 9 Ogos 1945. Jika di Hiroshima diamuk oleh Little Boy, di Nagasaki pula Fat Man. 
 
Permulaan kepada sejarah pengeboman kedua-dua bandar raya tersebut iat apabila Kuasa Bersekutu memutuskan untuk menggunakan bom atom yang dibangunkan mereka, hasil pakatan rahsia antara Aerika Syarikat dengan Britain yang dipanggil Perjanjian Quebec yang ditandatangani pada 19 Ogos 1943. 
 
Peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki dengan bom atom merupakan serangan nuklear yang dikenakan terhadap Jepun oleh Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Harry S Truman sewaktu Perang Dunia Kedua. 
 
Biarpun dikecam teruk dan dianggap sebagai jenayah perang terbesar dalam sejarah, Amerika Syarikat menegaskan yang perang akan terus berlanjutan jika Jepun tidak dibom. 
 
Inilah satu-satunya penggunaan senjata nuklear dalam peperangan dalam sejarah. 
 
Terdapat beberapa faktor yang menyukarkan anggaran bilangan nyawa yang terkorban dalam pengeboman ini. Populasi bandar-bandar terlibat sebelum pengeboman cuma diketahui secara kasar kerana berlakunya pemindahan besar-besaran serta bilangan buruh paksa yang juga kabur. 
 
Sebilangan mangsa terbakar mayatnya sehingga sukar dicam atau mayatnya dilupuskan dalam pembakaran besar-besaran.  
 
Menurut kebanyakan anggaran, pengeboman Hiroshima membunuh kira-kira 70,000 orang akibat kesan serta-merta letupan itu. 
 
Anggaran bilangan yang terkorban menjelang akhir tahun 1945 diberi daripada 90,000 hingga 140,000 akibat terbakar, penyinaran dan penyakit yang menyusul di samping diburukkan oleh kesuntukan sumber perubatan.  
 
Sesetengah anggaran mencatat sebanyak 200,000 orang mati menjelang tahun 1950 akibat penyakit barah dan kesan jangka panjang yang lain.  
 
Bilangan untuk Nagasaki lebih rendah kerana muka bumi di sana mengurangkan impak pengeboman dengan bilangan yang terkorban serta-merta dianggarkan daripada 40,000 hingga 75,000 orang. 
 
Di kedua-dua bandaraya, kebanyakan besar mangsa yang terkorban merupakan rakyat biasa.  
 
Pada 15 Ogos 1945 Jepun mengumumkan menyerah kalah kepada pihak Kuasa Bersekutu lalu menandatangani Surat Cara Penyerahan Kalah pada 2 September 1945. Perjanjian itu menamatkan Perang Dunia II. 
 
Maharaja Hirohito dibenarkan memerintah Jepun dengan pengawasan Amerika Syarikat. Lebih-lebih lagi, pengalaman pengeboman ini menggesa Jepun mengamalkan Tiga Prinsip Tanpa Nuklear yang melarang Jepun daripada melengkapkan diri dengan senjata nuklear.

No comments:

Post a Comment