Pasang taut ikan darat.
Menaut atau pasang taut ialah kaedah menangkap ikan
tradisional menggunakan batang lentur yang dicucuk di tebing bersama tali dan
mata kail berumpan.
Batang taut biasanya diperbuat daripada jenis buluh betung
atau buluh minyak tua yang telah dikeringkan dan diraut kecil, tetapi kukuh.
Taut biasanya ditahan pada waktu malam kerana ikan air tawar
seperti haruan dan keli biasanya mencari makan di kawasan tebing atau tepi pada
waktu malam.
Kalau tahan pada waktu siang pun tetap ada hasil, tetapi
tidak sebaik waktu malam.
Taut biasanya dipasang di tebing tali air, tebing sungai,
tebing tasik, batas sawah dan kawasan paya. Bilangan taut yang ditahan bukan
satu, tetapi berpuluh-puluh dan mungkin melebihi seratus bergantung bilang taut
yang ada dan jarak tebing.
Setelah dipasang, taut itu akan ditinggalkan untuk tempoh
tertentu sebelum diangkat atau dilihat sama ada umpan masih ada atau tidak.
Ada penaut akan melihat taut yang ditahan berulang kali
dengan berulang-alik di atas tebing sama ada taut bergerak-gerak atau tidak.
Kalau tidak mahu ulang-alik, boleh sahaja diangkat atau dilihat pada waktu
pagi.
Kalau taut bergerak itu tandanya ada ikan yang telah makan
umpan dan terlekat di mata kail. Taut bergerak-gerak kerana ikan yang terlekat
di mata kail cuba untuk melepaskan diri.
Ada juga ikan kecil yang makan umpan yang sekadar
"kutis" sedikit-sedikit dan tidak telan mata kain. Biasanya dilakukan
oleh ikan seluang atau anak ikan.
Jadi, kalau hendak terus tahan taut itu, kena ganti dengan
umpan baru. Umpan biasanya jenis belalang, katak, cacing, perut ayam dan
sebagainya.
Teknik letak umpan sama ada di permukaan air atau di dalam
air berdasarkan sasaran jenis ikan yang diharapkan.
Kalau yang diletak di permukaan air biasanya yang akan
menyambar ialah ikan haruan. Manakala umpan diselam biasanya untuk ikan keli.
Saiz mata kail yang digunakan mengikut umpan yang digunakan
dan sasaran jenis ikan yang ingin diperoleh.
Gambar sekadar hiasan.
Batang taut buluh.
