Saturday, 18 January 2020

SEJARAH BUKIT PANAU TEMPAT PERTEMUAN ULAMA

Bukit Panau yang terletak di jajahan Pasir Mas bersempadan dengan jajahan Tanah Merah semakin tular dan menjadi destinasi hiking terkenal di Kelantan sekarang ini. 
 
Di sebalik populariti Bukit Panau sekarang ini, maka sorotan sejarah mengenainya juga mula menarik minat orang ramai untuk mengetahuinya.

Mengikut catatan sejarah, Bukit Panau telah terkenal sejak ratusan tahun lalu. Bukit Panau pernah dijadikan sebagai "landmark" bagi pelaut antarabangsa yang mudah diakses dari Laut China Selatan untuk memasuki muara Sungai Kelantan.

Ketika itu kedudukan Bukit Panau tidak jauh dari laut. Antara pelabuhan yang terkenal atau besar ketika itu adalah yang berada di Kuala Krai.

Satu lagi catatan sejarah mengenai Bukit Panau ialah ia menjadi tempat untuk bertapa, bersuluk, beruzlah dan mengasingkan diri untuk memantapkan lagi tuntutan ilmu kebatinan dan kerohanian.

Dikatakan pada tahun 1349 Masihi, Bukit Panau telahpun dijadikan sebagai perkampungan terawal dan pertemuan Wali Songo (Wali Sembilan) untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa.

Di Bukit Panau dipercayai terdapat sebuah gua yang terlindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.

Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali “Hang Tuah”.

Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah SAW bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.

Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa).

Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari peristiwa yang berlaku di Bukit Panau. Dikatakan apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila Adi Putra bersalam dengan Wli Songo terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali.

Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam dikenali Taman Serendah Sekebun Bunga di Pangkal Kalong (Ketereh, Danau To' Uban (Pasir Mas) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang).

Kilatan itu amat jelas kelihatan bagi penduduk berada di Kampung Pengkalan Kiat kerana Bukit Panau hanya dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 600 meter.

Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment