Tuesday 9 January 2024

KHIDMAT BURUNG HANTU KAWAL POPULASI TIKUS

 
Menggunakan burung hantu untuk memerangi populasi tikus merupakan idea lama yang kini digiatkan semula oleh banyak sektor industri pertanian. Cara ini bukan sahaja berkesan, tetapi menjimatkan dan mesra alam. Tiada penggunaan bahan kimia atau racun untuk membunuh tikus yang merosakkan tanaman.
 
Tindakan atau usaha yang perlu dilakukan oleh petani untuk “menjemput” burung hantu beada di kawasan tanaman ialah dengan membina rumah burung hantu. Dengan bermodalkan kecil menyediakan rumah burung hantu dengan menggunakan kayu dan tiang, burung hantu akan memberi “khidmat” terbaik kepada petani.
 
Burung hantu sebenarnya tidak memilih atau cerewet memilih tempat yang dijadikan rumah. Sudah memadai dengan tempat yang muat-muat untuk berehat pada siang hari. Tempat itu perlu tertutup atau terlindung untuk mengelak cahaya matahari terus mengenainya.
 
Burung ini juga boleh bertolak ansur dengan sedikit bunyi bising dan kekecohan di sekitar sarangnya selagi ia tidak diancam secara langsung. Selagi bekalan makanan terus diperolehi, burung hantu ini akan kembali semula.
 
Penggunaan burung hantu merupakan satu bentuk kawalan biologi untuk tikus. Berbanding ular, burung hantu lebih sesuai untuk mengurangkan bilangan tikus, memandangkan burung hantu jantan boleh menangkap 10 ekor tikus untuk dibawa ke sarangnya pada waktu malam.
 
Burung hantu yang aktif pada waktu malam, secara saintifiknya dikenali sebagai Tyto alba, mempunyai selera makan yang kuat. Setiap burung dewasa memakan sehingga 2,000 ekor tikus setahun. Penyelidik berkata burung hantu dalam kawasan kelapa sawit hampir seluruhnya bergantung kepada tikus untuk makanannya.
 
Burung hantu yang unik ini mempunyai banyak ciri dan sifat yang khusus. Mukanya yang rata berbentuk hati  mempunyai pendengaran yang tajam dan mata bulat yang besar menyediakan pandangan yang tajam pada waktu malam ditambah oleh kemampuan untuk memusingkan kepalanya 180 darjah menjadikan ia burung yang menakjubkan.
 
Sebagai haiwan pemburu, burung hantu merupakan makhluk yang amat sesuai. Bentuk sayap dan mempunyai deria pendengaran yang membolehkannya memburu dalam kegelapan.
 
Setiap petani, sudah tentu perlu mempertimbangkan apakah yang terbaik untuk memenuhi keperluan mereka serta keperluan burung hantu itu. Dalam sebarang kes, kotak sarang burung perlu ditempatkan di kawasan aktiviti manusia yang rendah atau di lokasi di atas pokok atau dalam pondok pertanian di mana lebih terlindung daripada cahaya matahari.
 
Bagaimanapun adalah penting untuk tidak menghalau atau mengancam burung hantu. Burung hantu secara purata merupakan makhluk yang singkat jangka hayatnya. Banyak yang mati sebelum menghabiskan tahun pertama mereka. Penyebab kematian termasuklah kemalangan akibat keracunan racun makhluk perosak, kebuluran, menjadi mangsa kepada manusia, kemalangan dengan kenderaan, pagar dan talian kuasa, dan serangan oleh mamalia karnivor, helang dan burung hantu lain.
 
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa burung hantu bukanlah penyelesaian sepenuhnya kepada masalah tikus yang dihadapi petani. Kawalan mampan hanya boleh dicapai dengan mengurangkan bilangan tikus dalam alam sekitar, secara prinsipnya dengan mengurangkan makanan dan tempat pembiakan.

No comments:

Post a Comment