Thursday, 22 July 2021

MEMAHAMI KONSEP KETENTUAN KEHENDAK ALLAH

Dalam konsep akidah, kehendak (iradah) Allah SWT itu dapat difahami dalam dua bentuk iaitu al-iradah al-syar’iyyah dan al-iradah al-kauniyyah.

Al-Iradah al-kauniyyah ini bukan hanya berlaku kepada muslim bahkan ianya juga berlaku kepada orang kafir. Ini kerana, ketaatan dan kemaksiatan berlaku dengan kehendak Allah SWT.

Manakala, al-iradah al-syar’iyyah ini mencakupi kasih sayang Allah SWT dan redha-Nya.

Contoh al-iradah al-kauniyyah adalah sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Surah al-Rad, ayat 11)

Inilah yang difahami dengan kaedah: "Sesungguhnya kehendak (Allah SWT) tidak lazim bersama dengannya redha dan kasih-sayang."

Contoh al-iradah al-syari’yyah al-qadariyyah adalah sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Maka, kita dapat fahami bahawa berlakunya segala perkara adalah dengan izin Allah SWT namun, ia tidak menjamin keredhaan-Nya.

Ini sebagaimana terjadinya peperangan, kemaksiatan, kejahatan, keburukan di mukabumi. Ianya tetap berlaku walaupun Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Memerhati.

Itulah ujian bagi manusia yang beriman selaku khalifah Allah SWT untuk memperbetulkannya dan menyeru sekaliannya untuk kembali kepada jalan-Nya yang benar.

Oleh itu, apakah jaminan kita akan keredhaan-Nya terhadap doa-doa kita dalam keadaan ianya bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Disinilah pentingnya untuk seorang hamba berdoa dengan keseimbangan rasa raja’ (harap) dan khauf (takut) kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Surah al-Anbiya, ayat 90)

Kedua, jika sesuatu usaha itu dijalankan mengikut kaedah yang tepat, menepati prosedur yang digariskan maka boleh sahaja apa yang diinginkan itu berjaya diperoleh. 

No comments:

Post a Comment