Saturday 23 June 2018

HUKUM BERKAITAN PENGGUGURAN KANDUNGAN JANIN

Pengguguran kandungan janin atau aborsi telah lama dibincangkan di kalangan ulama. Dalam kitab fikah klasik ia dibincangkan dalam bab ‘jenayah’ kerana kesan perbuatan boleh melibatkan soal pembunuhan bayi dan seba6gainya. Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya.

Maksud pengguguran tentu sekali tidak menyamai tindakan pencegahan hamil melalui berbagai cara yang ada, dulu dan sekarang. Langkah seperti itu tidak disebut sebagai “pengguguran”. Tetapi sebaliknya istilah yang digunakan ialah ‘Azl yang merupakan cara yang popular pada zaman dahulu bagi tujuan berkenaan. `Azl, iaitu mengeluarkan mani di luar faraj semasa persetubuhan.

Imam al-Ghazali (Wafat 505H) menjelaskan: “Menggugurkan janin dan menanam bayi hidup-hidup (al-wad) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud. Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot).  

Menggugurkan nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi alaqah (epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat. Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh, maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat.  

Jenayah paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad, Ihya ulum al-din, Kaherah: al-Matbaah al-Uthmaniyah, 1352H, jil. 2, hlm. 47)

Rasulullah menyebut mengenai tahap kejadian manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap orang daripada kalian dicipta di dalam perut rahim ibunya selama 40 hari dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah (alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan roh kepadanya. Malaikat itu diberikan empat perintah, iaitu supaya menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun bahagia"  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Wahbah al-Zuhaili berkata, “Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser atau adanya keuzuran seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang menyusukan bayinya serta dalam masa yang sama, bapa bayi itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan bayi.

Imam Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita menggugurkan kandungannya, “Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya, kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya serta dalam masa yang sama, bapa kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu.  

Para ulama berpendapat, “Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya selagi ia masih berupa nutfah, alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki anggota badan. Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi 120 hari.  

Mereka membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia (iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matbaah al-Amiriyah, 1310H, jil. 3, hlm. 410)

Hujah pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih berada pada peringkat nutfah, alaqah dan mudghah yang belum berusia 120 hari iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang manusia, namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu berdosa.  

Disyaratkan perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan. (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)

Namun, menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib, menjelaskan, “Jika seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya gugur, maka al-Zarkasyi berkata, “Wanita itu tidak bersalah." (al-Khatib, Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, t.th., jil. 4, hlm. 103.)

Mahmud Syaltut, mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, “Jika disahkan melalui kaedah yang berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh membahayakan nyawa ibu, maka syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, Abd al-Karim, al-Mufassal fi ahkam al-marah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyah, cet. ke-2, Beirut, hlm. 126-127).

Fatwa berkaitan pengguguran janin yang ada di Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Tentang pengguguran kerana terdapat ancaman terhadap nyawa ibu, muzakarah tersebut memutuskan seperti berikut: (Muzakarah kali ke-90)

Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga empat puluh hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.  Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit dan boleh membahayakan nyawa ibu.

Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiup roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa atas sebab kecacatan yang teruk.

Selain itu muzakarah tersebut juga juga memutuskan hal-hal berikut: (Muzakarah kali ke-90):-

Rogol: Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh keatas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Zina: Menggugurkan kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan akan memudaratkan nyawa ibu.

Orang Kurang Upaya (OKU): OKU (ujian akal di bawah paras 80) harus menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.

Apa yang jelas daripada fatwa-fatwa yang diberikan, keharusan pengguguran kandungan dalam usia lebih daripada 120 bergantung sepenuhnya kepada soal ancaman terhadap keselamatan nyawa ibu.

Semuanya ini berasaskan kepada teori maslahah dan mafsadah di atas. Adapun pengguguran pada peringkat sebelum itu maka ianya boleh dilakukan atas sebab-sebab lain juga, kerana kewujudan kandungan berkenaan belum mencapai tahap yang diberikan perlindungan sepenuhnya oleh syarak.

No comments:

Post a Comment