Saturday, 28 July 2018

KEKAL KEMERDEKAAN DENGAN KEAMPUHAN JATI DIRI

Rakyat perlu merenung kembali makna kemerdekaan dan kebebasan sebenar. Mungkin ramai antara kita berpendapat erti kemerdekaan itu adalah bebas daripada belenggu penjajah dulu. Memang benar itulah yang diperjuangkan oleh datuk nenek kita dulu. Tetapi, sejauh manakah generasi masa kini benar-benar memahami erti kemerdekaan.

Hanya masyarakat yang bersikap terbuka minda, bijak, berilmu dan berpandangan jauh saja yang tahu erti kemerdekaan sebenar. Tahu menjerit kalimat ‘Merdeka!’ saja tidak cukup untuk memahami erti kemerdekaan sebenarnya.

Kita harus faham bahawa kebebasan yang diperjuangkan orang dulu bukan sekadar melepaskan negara kita daripada pemerintahan penjajah, malah lebih kepada mendaulatkan agama, bangsa dan negara yang sebelum ini dipandang rendah dan ditindas golongan penjajah.

Sebenarnya perjuangan kemerdekaan adalah perjuangan yang didorong bukan hanya sebagai sebuah hak bangsa, tetapi semestinya atas suatu tanggungjawab agama. Tidak mungkin ia menjadi perjuangan murni hanya kerana kita mengambil sikap melepaskan bangsa daripada perhambaan penjajah.

Ia diperjuangkan kerana tanggungjawab terhadap perintah agama untuk mendaulatkan hukum Allah di bumi ini. Perkara inilah seharusnya menjadi ingatan kepada setiap anak bangsa kita pada hari ini.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan Imam Abi Daud dari Muaz yang bermaksud: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa yang memohon kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid. Dan barang siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangian kasturi.”

Untuk memahami erti kemerdekaan, kita bukan sekadar merdeka dari segi pembangunan fizikal dan material semata-mata. Tetapi, ia harus seimbang dari segi akhlak, moral dan nilai kemanusiaan. Kemajuan material yang kita lihat pada hari ini memang patut kita banggakan, tetapi sekiranya pembangunan fizikal saja yang menjadi tumpuan, pasti masyarakat kita akan hancur dimamah kemajuan material atau kebendaan yang tidak dirancang secara sistematik. Himpunan kemajuan dan pembangunan material perlu seiring dengan pembangunan moral dan akhlak masyarakat terutama di kalangan generasi muda.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa mengambil kira pelbagai pendekatan untuk mengaplikasikan nilai agama, moral dan kemanusiaan amat mustahak untuk melahirkan modal insan yang baik. Dalam erti kata lain, generasi muda kini perlu disasarkan agar memiliki daya ketahanan identiti dan jati diri sesuai dengan matlamat asal kepemimpinan negara yang mahukan ciri tulen kita selama ini dipertahankan.

Tidak kira di mana-mana negara pun, generasi muda adalah aset paling penting untuk menerajui sesebuah negara pada masa depan. Namun, kita amat kecewa apabila melihat masalah golongan muda-mudi pada hari ini.

Amat jelas sekali betapa kurangnya nilai akhlak dan moral di kalangan mereka. Lihat saja berita yang dipaparkan, pasti ada saja longgokan masyarakat terutama muda-mudi yang musnah binasa akhlak, moral dan nilai kemanusiaannya.

Gejala demi gejala terus menular dan mangsanya adalah anak bangsa kita sendiri. Apa yang kebanyakan masyarakat kita hari ini tidak sedari ialah agenda penjajah dulu masih belum berakhir.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya masih boleh dijajah bangsa asing, walaupun dalam bentuk lain. Tidak semestinya dalam bentuk pemerintahan secara langsung. Sebagai contoh, lihat saja penerimaan segelintir masyarakat kita terhadap budaya buruk dari luar terutama di kalangan golongan muda.

Mereka begitu mudah terpengaruh seolah-olah mereka tidak mempunyai identiti bangsa sendiri. Lebih menyedihkan lagi ada golongan mempertahankan penerimaan ini sebagai sesuatu yang wajar dengan alasan itu adalah budaya hidup orang moden.

Semangat cintakan agama, bangsa dan negara tidak akan pudar sekiranya ia disemai di dalam jiwa setiap anak bangsa kita sejak awal. Semangat ini perlu disampaikan kepada mereka dalam erti kata sebenar. Bukan sekadar menerusi laungan negaraku moden dan maju.

Ada tanggapan mengatakan kesedaran dan semangat cintakan negara sukar dipupuk di kalangan generasi baru kerana generasi yang ada pada hari ini tidak melalui perit getir peperangan.

Tanggapan ini adalah tidak benar. Semangat cintakan negara tidak semestinya hanya diperoleh selepas rakyat mengalami perit getir peperangan. Melalui penghayatan yang mendalam mengenai erti kemerdekaan sebenar sudah cukup membentuk kesedaran di kalangan masyarakat.

Walaupun generasi sekarang tidak pernah mengalami secara langsung apa yang terjadi pada saat sebelum dan sehingga tercapainya kemerdekaan negara kita, tetapi nilai keperibadian tokoh pejuang kemerdekaan dulu masih boleh dihidupkan di dalam diri mereka.

Generasi baru perlu dibentuk supaya mempunyai pegangan hidup yang kukuh. Ilmu dunia saja tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu benar-benar terpelajar. Kalau seseorang itu berilmu pun, jika tidak mempunyai pegangan hidup yang kuat, sudah tentu ilmu tadi memakan dirinya.

Pegangan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada kekuatan jati diri dan pegangan agama. Sesungguhnya kekuatan jati diri dan kekukuhan pegangan agama yang menjadi pemangkin kejayaan wira kemerdekaan.

Oleh itu, selaras dengan matlamat negara kita untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berdaya saing dalam tamadun global yang sentiasa berubah-ubah, generasi kini perlu ditanamkan dengan rasa tanggungjawab di dalam diri mereka untuk terus mempertahankan apa yang ada pada hari ini agar kita tetap kekal sebagai bangsa yang merdeka sampai bila-bila.

Di samping itu, minda generasi kini mesti dipenuhi dengan penghayatan dan peringatan terhadap jasa serta pengorbanan tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu agar mereka sedar dengan tanggungjawab mereka sebagai penerus perjuangan untuk mendaulatkan negara tercinta ini. Dan yang pasti perjuangan ini sudah tentu tidak akan ada nokhtahnya.

No comments:

Post a Comment