Syukurlah negara kita terus aman dan
maju. Keadaan ini perlu dipertahankan selama-lamanya. Namun tidak ada jaminan
keadaan aman ini dapat terus dinikmati jika rakyat melakukan tindakan yang
boleh mendatangkan keadaan sebaliknya.
Antara punca berlaku huru hara dalam
sesebuah negara ialah sikap rakyat tidak menghormati pemimpin. Perkara ini
terkawal di negara kia, namun ia tidak mustahil berlaku jika sikap ekstrem
tidak dibendung.
Cuba kita perhatikan apa yang
berlaku di luar negara apabila rakyat tidak menghormati pemimpin dan dasar
negara. Sejarah telah merakamkan banyak negara runtuh dan hancur disebabkan
tindakan rakyat sendiri.
Perkara ini berlaku melalui tindakan
sepenuhnya oleh rakyat negara itu sendiri, atau ada yang turut melibatkan
kerjasama kuasa asing. Kuasa yang jatuh digantikan dengan kuasa baru. Namun,
pemimpin baru yang diangkat masih tidak memenuhi keinginan keseluruhan rakyat. Lalu,
pemimpin baru itu pula ingin dijatuhkan.
Tindakan saling menjatuhkan kerajaan
yang dibentuk menyebabkan berlaku rusuhan dan perang saudara. Keadaan ini
berterusan dalam masa yang lama hingga menyebabkan malapetaka besar berterusan kepada
rakyat.
Kita perlu mengambil pengajaran apa
yang berlaku di luar negara di mana negara yang bertukar tampuk pemerintahan
secara kekerasan atau tindakan ekstrem tidak akan menikmati suasana aman,
bahkan kerajaan baru dibentuk menjadi boneka kepada negara lain.
Keadaan itu menyebabkan ada pihak
lain ingin menjatuhkannya. Fenomina itu merugikan rakyat apabila masa, tenaga
dan kewangan lebih banyak dihabiskan dalam proses pemilihan pemimpin, sedangkan
tugas kepimpinan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Rakyat Malaysia harus bersyukur
proses peralihan kuasa berlaku dengan lancar tanpa sebarang perkara buruk. Bahkan
sikap berlapang dada, ikhlas, menghormati kehendak rakyat dijadikan agenda
utama dalam proses peralihan kuasa.
Kedudukan kerajaan yang teguh
memudahkan usaha pembangunan negara yang memberi peluang rakyat menikmati kehidupan
lebih selesa, selamat dan harmoni.
Perpecahan
wujud berpunca adanya individu dan kelompok yang ingin menguasai sebahagian
kelompok lain secara bertentangan dengan kaedah yang biasa diamalkan. Peristiwa perpecahan umat Islam bukan perkara baru, bahkan telah berlaku
sebaik kewafatan Rasulullah SAW.
Perpecahan umat Islam paling ketara
berlaku semasa pemerintahan Khalifah Uthman Affan. Peristiwa itu berpunca sikap
puak yang dipanggil Khawarij melakukan tindakan menentang kepimpinan Khalifah
Uthman.
Penentangan puak Khawarij berpunca
ketegasan Khalifah Uthman tidak menunaikan atau tidak melaksanakan permintaan
puak itu. Khalifah Uthman mempunyai alasan kukuh untuk bertindak demikian,
berdasarkan kepada apa yang pernah diamalkan Rasulullah SAW dan demi kebaikan
keseluruhan penganut agama Islam.
Namun, puak Khawarij tidak dapat
menerima keputusan Khalifah Uthman, lalu berhasrat menguasai tampuk
pemerintahan agar dapat melakukan apa yang difikirkan wajar bagi mereka. Mereka
merasakan hanya mereka yang betul dan pihak lain salah.
Cara kotor yang dilakukan puak
Khawarij dalam usaha menguasai tampuk pemerintahan ialah menyebarkan propaganda
dan fitnah bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap Khalifah Uthman. Kemuncak
kegilaan dan sifat buruk puak Khawarij ialah tragedi pembunuhan Khalifah
Uthman.
Sikap puak Khawarij melakukan
perbuatan tidak bertanggungjawab berpunca ketaksuban dan mempercayai propaganda
yang disebarkan oleh orang Yahudi. Orang Yahudi mengambil kesempatan di atas
bibit perpecahan yang mula kelihatan di kalangan penganut Islam ketika
itu.
Puak Khawarij sanggup membelakangkan
kepentingan penganut agama Islam yang lain semata-mata ingin mencapai apa yang
diingini. Sifat puak Khawarij berdasarkan kepada ketaataan dan mempercayai
sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh pemimpin, tanpa berfikir mencari
kebenarannya atau mempersoalkan lojiknya.
Amalan seperti puak Khawarij masih
berterusan sehingga kini yang mana sikap taksub dan membabi buta menyokong
pemimpin membawa kepada perpecahan kepada ummah.
Konsep sanggup melakukan apa saja
demi kepentingan kumpulan menjadi asas perjuangan yang kononnya berteraskan Islam
menanam fahaman taksub melampau sehingga menolak kehadiran pihak lain,
melainkan memberi kepentingan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment