Islam
mementingkan agar menghormati orang tua. Sesiapa yang tidak menghormati orang
tua tidak sempurna keimannya. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa bukan di
kalangan umat baginda sesiapa tidak menghormati orang tua. Sabda Rasulullah
bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami sesiapa yang tidak menghormati orang
tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” - (Hadis riwayat Tabrani).
Dalam
sebuah hadis lain Rasulullah menjelaskan sesiapa yang ingin dikasihi, maka dia
terlebih dulu perlu mengasihi orang lain. Perbuatan itu jelas
memperlihatkan bagaimana kesan hubungan timbal balas sesama manusia. Jika
kita mengasihi orang lain, orang itu akan membalas kasih sayang itu dan diikuti
oleh orang lain di sekelilingnya secara timbal balas dan berterusan.
Mereka
yang melakukan perbuatan melampai batasan termasuk menghina dan mengherdek
orang lain mendapat seksaan yang pedih.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang
berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa
(menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah
asy-Syura, ayat 42)
Iyad
bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi
wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama
lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang
lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Hadis riwayat
Muslim)
Ada
kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri
seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada
mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.
Sebagai
hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan
dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam
diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap
ketakwaan mereka.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui
berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)
Sebaiknya,
kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan
itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan
itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawab atas setiap perbuatan
dilakukan. Tiada siapa mampu kekal memiliki apa yang dimiliki di dunia untuk dibawa
ke akhirat.
Kehidupan
hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk
diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan
taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.
Sebenarnya,
banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya
adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia
menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada
permusuhan.
Oleh
itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan.
Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak
mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi atau berbuat masalah kepada orang
lain.
No comments:
Post a Comment