Saturday 9 July 2022

BUAH NIPAH DELTA SUNGAI KELANTAN

  
Di delta Sungai Kelantan terdapat banyak pulau sama ada di kawasan jajahan Kota Bharu mahupun Tumpat. Di kawasan delta terdapat banyak pokok nipah tumbuh dengan subur. 
 
Nipah adalah sejenis tumbuhan palma yang tumbuh di kawasan pesisiran sungai yang mudah dilimpahi air pasang yang sering bertemu dengan air tawar di mana keadaan kemasinannya adalah rendah. 
 
Pohon nipah mempunyai batang berpelepah yang terdiri daripada helaian daun panjang bebentuk rosette di hujung dahan. Nipah mengeluarkan sejenis mayang yang besar berwarna kekuningan. 
 
Buahnya adalah keras bersegi, tersusun rapat membentuk satu cluster yang berbentuk bulat. Buah nipah ada isi yang boleh dimakan. Rasanya sedap dan berkhasiat. 
 
Tekstur isi nipah seakan buah kabung dan buah kelapa laut. Untuk memproses buah nipah perlu kemahiran bermula dari memilih buah sehinggalak kepada kerja mengopeknya. 
 
Untuk mendapat isi buah nipah, buahnya kena pilih betul-betul. Kalau buah tua ia keras dan kalau muda sangat tiada isi. 
 
Hendak kopek isi nipah agak cerewet sikit. Kena belah buah satu-satu, setandan buah nipah ada 60 biji hingga 70 biji. 
 
Selepas isi dikopek, ia perlu direndam di dalam air gula selama sejam bagi memastikan isi terus segar dan enak dimakan. Kalau makan terus selepas dikopek adalah lebih baik. Rasanya sedap dan masih segar. 
 
Buah nipah kaya kebaikan antioksidan. Jadi ia dapat dijadikan sebahagian menu untuk membunuh sel kanser. 
 
Khasiat buah nipah sebagai sumber antioksidan dapat mencegah dan melambatkan sesuatu gejala penyakit, termasuk kanser. 
 
Antioksidan berfungsi untuk melemahkan atau menghalang unsur radikal bebas daripada berkembang di dalam tubuh kita. 
 
Mencari dan menjual buah nipah menjadi sumber rezeki kepada sekumpulan individu, memandangkan permintaan terhadap isi buah nipah agak baik. Isi buah nipah dimakan segar mahupun dicampur dalam air batu campur dan minuman lain. 
 


 

 

 

No comments:

Post a Comment