Monday, 16 January 2023

BUAT PERKARA KECIL ASALKAN IKHLAS

  
Hidup manusia di dunia ini bertujuan untuk melakukan ibadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya setiap perbuatan di dunia ini tidak kira kecil atau besar akan mendapat pembalasan yang setimpal. 
 
Sebab itu, jika ingin melakukan kebaikan, jangan tunggu yang memberi pahala besar baru ingin dilakukan. Buatlah perkara kecil dengan ikhlas. Itu lebih memberi kebaikan berbanding melakukan amalan menjanjikan pahala besar tetapi tidak ikhlas.
 
Sebasar manapun kebaikan yang dilakukan, tetapi jika tidak ikhlas atau untuk tujuan selain kerana Allah, maka amalan itu tidak diterima sebagai memberi pahala.
 
Setiap amalan dikira bergantung kepada niat. Untuk dikira sebagai perbuatan kebaikan dan dibalaskan pahala, handaklah diniatkan semata-mata mencari keredaan Allah.
 
Amalan kebaikan tidak hanya dicapai apabila melakukan ibadat khusus semata-mata, tetapi juga semua perbuatan, percakapan mahupun gerak hati dikira mendatangkan pahala sekiranya diniatkan untuk kebaikan.
 
Sabda Baginda SAW kepada sahabat: “Mahukah aku ceritakan pada kalian mengenai tiga golongan manusia. Pertama, mereka yang sentiasa berusaha mendampingi Allah SWT dengan melakukan kebaikan lalu mereka didampingi Allah SWT. Kedua, mereka malu kepada-Nya untuk melakukan kejahatan lalu Allah SWT malu untuk menolak permohonan mereka dan ketiga, mereka yang menyimpang terus daripada Allah SWT apabila bergelumang dengan maksiat lalu Allah melupakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Golongan ketiga ini dikategorikan sebagai menipu Allah SWT seperti disebut dalam Al-Quran antaranya firman bermaksud: “Mereka menipu Allah SWT dan mereka akan tertipu.” (Surah An-Nisa’, ayat 142)
 
Dua golongan disebut melakukan kebaikan dan menjauhkan kejahatan dianggap membantu agama Allah SWT dan mendapat pertolongan. Mereka yang melakukan sesuatu untuk Allah SWT mendapat ganjaran terbaik.
 
Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah SWT nescaya kamu akan mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7)
 
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Kamu tidak akan meninggalkan sesuatu untuk Allah selain digantikan dengan yang lebih baik daripada itu.” (Hadis riwayat Ahmad)
 
Dengan kata lain, apa sahaja kebaikan yang kita lakukan sebenarnya akan kembali kebaikan itu kepada diri kita sendiri. Ketika kita membantu orang lain, hakikatnya kita membantu diri sendiri sama ada untuk kebaikan di dunia mahupun di akhirat.

Hidup kita ini tidak lama untuk dinikmati. Masa yang ada, adalah peluang yang berbaki untuk dimanfaatkan. Penuhilah dengan berbuat amal, kebaikan dan berbakti untuk keluarga, agama dan nusa tercinta.
 
Gambar - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment