Keistimewaan manusia berbanding ciptaan lain ialah dikurniakan akal dan nafsu. Akal membolehkan manusia memilih atau menentukan apa yang baik dan buruk. Sedangkan nafsu adalah satu perasaan yang mendorong untuk melakukan sesuatu.
Nafsu ada dua sifat iaitu membawa kebaikan
(mahmudah) dan mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis
nafsu ini saling menguasai diri seseorang.
Jika mahmudah yang lebih kuat, maka
kebaikan yang lebih banyak dilakukan. Sedangkan jika mazmumah yang lebih
berkuasa, maka terjelmalah keburukan dan durhaka lebih banyak
dilakukan.
Sifat mahmudah dan mazmumah dalam diri
manusia lahir dari kebiasan yang diamalkan. Ia berkait rapat dengan tahap
keimanan.
Mereka yang benar-benar bertakwa kepada
Allah akan menjauhkan segala sifat tercela, kerana mereka sedar apa yang
dilakukan di dunia ini akan menerima pembalasan di akhirat kelak.
Sesunguhnya manusia berdepan dengan musuh
yang akan sentiasa mengajak melakukan keburukan dan penderhakaan terhadap
Allah. Musuh yang dimaksudkan ialah syaitan.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya
syaitan itu musuh bagimu. Maka itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan
itu hanya mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni
neraka." (Surah Fathir, ayat 6).
Demi cita-cita menyesatkan manusia, syaitan
akan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti kehidupan
manusia.
Semua golongan tidak kira beriman atau
tidak, kaya atau miskin, cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan
tua atau muda tidak terkecuali didampingi oleh syaitan.
Perlu ditegaskan, syaitan yang wajib
dijauhi bukan saja berupa dalam bentuk kejadian asalnya yang tidak dapat
dilihat oleh pancaindera manusia biasa.
Malah, syaitan juga datang dalam bentuk
manusia biasa yang hidup di alam nyata, yakni manusia yang telah terpengaruh
dengan tipu daya syaitan menjalankan tugas-tugas syaitan. Syaitan menguasai
golongan ini menjadi agen untuk menyesatkan manusia.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “(Aku
berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul
tenggelam. Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam
hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.”
(Surah an-Nas, ayat 4-6)
No comments:
Post a Comment