RON adalah singkatan bagi Research Octane
Number. Ia adalah ukuran kebolehrintangan minyak petrol terhadap “knocking”. ”Knocking”
pula adalah kejadian letupan tidak terkawal yang berlaku di dalam kebuk
pembakaran. Dan kejadian “knocking” ini tidak memberikan kuasa yang positif
malah boleh membawa kecelakaan kepada enjin.
Sebenarnya nilai tenaga untuk petrol dengan
RON 95 atau RON 97 atau RON 100 semua lebih kurang sama. Yang membezakannya
adalah kualiti melawan sifat “knocking” (anti-knock quality). Dengan itu, tiada
isu RON mana yang lagi “power”. Ini kerana kandungan tenaganya sama sahaja.
Yang bagi lebihan kuasa itu adalah bagaimana enjin menggunakan kelebihan bahan
bakar tersebut secara efektif.
Enjin moden tidak lagi sensitif dengan RON kerana
kemajuan Engine Control Unit (ECU). ECE moden membenarkan enjin beroperasi
dalam julat RON yang berbeza. Contohnya bermula daripada RON85 sehingga RON100.
ECU moden dapat mengadaptasi nilai semburan bahan api dan “ignition”
berdasarkan kualiti pembakaran bagi mengelakkan “knocking” berlaku.
RON yang tinggi lebih sesuai untuk digunakan
bagi enjin yang menggunakan induksi paksaan (forced induction) seperti supercharger (SC)
atau turbocharger (TC). Ini kerana enjin yang ada SC/TC lebih
terdedah kepada “knocking” disebabkan angin yang masuk bertekanan dan bersuhu
tinggi. RON yang tinggi lebih sesuai kerana ia dapat mengurangkan atau
mengelakkan berlakunya “knocking” yang akan menyebabkan kemerosotan prestasi
dan juga bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin.
ECU moden mempunyai talaan untuk beroperasi
dalam julat RON yang berbeza. Contohnya julat di antara RON 87 ke RON 100. Pun
begitu, kadar prestasi optimum dan penggunaan bahan api yang terbaik akan
terhasil pada tahap RON yang disarankan dalam buku manual/buku spesifikasi
kereta anda.
Oleh itu, gunalah RON yang sesuai dengan
enjin kenderaan anda mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, jika anda
mahu guna RON yang berbeza, ini tidak akan merosakkan enjin anda secara
langsung.
Ini kerana enjin yang direka untuk
menggunakan RON rendah, boleh berfungsi dengan baik apabila gunakan RON tinggi.
Tetapi enjin yang direka untuk gunakan RON tinggi, tidak boleh berfungsi dengan
baik dengan RON rendah.
Tepuk dada, tanya selera, pilihan di tangan
anda.
No comments:
Post a Comment