Saturday 27 July 2024

PROSES MEMBINA LEBUH RAYA LINGKARAN TENGAH UTAMA

 
Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) sejauh kira-kira 325 kilomter (km) merupakan lebuh raya tanpa tol yang menghubungkan persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong, Pahang dengan Kuala Krai, Kelantan.
 
Projek LTU yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 2008 melibatkan 26 pakej atau projek. Sehingga Julai 2024, 11 projek telah siap, 14 dalam pembinaan dan satu dalam proses perolehan. .
 
LTU dahulunya dikenali Central Spine Road (CSR) memang dinanti-nantikan pengguna jalan raya bilakah akan siap kerana ia akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, terutama pada musim perayaan untuk perantau pulang ke Kelantan.
 
Memang terdapat isu berkaitan kelewatan projek disiapkan, namun pihak kerajaan Pusat berusaha untuk mengatasi atau mengurangkan kelewatan tersebut.
 
Antara punca kelewatan projek ialah pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, pengurusan trafik, kekurangan tenaga kerja, keadaan cuaca tidak menentu dan kenaikan harga barang. Pun begitu, isu-isu tersebut  dapat diatasi sebaik mungkin mengikut amalan terbaik pengurusan pembinaan serta mematuhi garis panduan dan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
 
bagi Pakej 1 dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, kemajuan semasa telah mencapai 11.59 peratus; Pakej 2 dari Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang (22.40 peratus); Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong (84.25 peratus); Pakej 4 dari Kampung Relong ke Raub (63.69 peratus); Pakej 5: Raub ke Bentong telah dibuka kepada pengguna; dan Pakej 6 dari Bentong ke Persimpangan LPT (30.07 peratus).
 
Projek berperingkat-peringkat itu mengambil kira keperluan semasa di satu-satu kawasan, terutama dalam menangani masalah kesesasakn dan keselamatan pengguna jalan raya. Pembinaan LTU bermula dengan Fasa 3 iaitu dari Meropoh ke Kampung Relong sejauh 107 km. Pakej itu merupakan jarak paling jauh.
 
Gambar Julai 2024 menunjukkan proses pembinaan di kawasan Gua Musang. BERNAMA

No comments:

Post a Comment