Faedah sedekah tak terkira
banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang
setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi
peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah:
Firman
Allah bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki
yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut
kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku
- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat
pula aku jadi daripada orang yang soleh,” (Surah al-Munafiqun, ayat 10).
Allah SWT berfirman: “Katakanlah (wahai
Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan
apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua
sebaik-baik pemberi rezeki,” (Surah Saba, ayat 39).
Orang yang bersedekah mendapat
doa para malaikat.
Abu
Hurairah menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang
dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya
Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat
satu lagi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan
kedekut) kemusnahan,” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Benar
sekali firman Allah ini, sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat
luas. Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada
keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para
malaikat kepada kita. Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin
indah dan berkat kerana doa mereka.
Oleh itu, marilah
kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat
Allah dan dikenali oleh para malaikat. Amin!
No comments:
Post a Comment