Sebuah
rumah diusung dan dipindahkan ke tempat lain? Bunyi macam pelik dan tidak masuk
akal. Namun,
itulah yang dilakukan masyarakat dahulu. Aktiviti bergotong-royong mengusung
rumah untuk dipindahkan ke tapak lain cukup sinonim dengan masyarakat dahulu.
Rumah
dipindah sama ada tapak asal ingin dibangunkan bangunan baru, kerap berlaku
banjir dan pembinaan jalan baru.
Kes
pembahagian harta pusaka melibatkan tanah juga menjadi sebab sesebuah rumah
diusung ke tapak baru.
Pindah
sebuah rumah dianggap lebih mudah dan ‘selamat’ berbanding dirobohkan dan
dibina semula. Jika dirobohkan, biasanya akan ada bahagian kayu, dinding atau
zink yang akan rosak dan tidak dapat digunakan semua.
Rumah
yang akan dipindah akan diikat dengan batang nibung atau kayu panjang sebagai
pemegang untuk diangkat atau diusung.
Semasa
pengusungan dilakukan, ketinggian mengangkat perlu sama atau sekata agar tidak
ada bahagian akan tercabut atau patah.
Seorang
ketua akan memberi arahan agar dilakukan serentak. Biasanya jarak usungan hanya
beberapa ratus meter. Tetapi ada juga jarak usungan sehingga mencecah lebih
satu kilometer!
Masa
diambil bergantung kepada jarak hendak dipindahkan atau bilangan orang yang
terlibat. Jika ramai yang terlibat mengusung, mereka tidak perlu berhenti
banyak kali. Ada yang boleh terus mengusung untuk jarak beberapa ratus meter
dengan sekali angkatan.
Biarpun
terasa berat dan terpaksa mengerah tulang empat kerat, namun apabila dilakukan
secara bergotong royong ia berjalan dengan lancar ibarat pepatah berat sama
dipikul ringan sama dijinjing.
Mereka
yang terlibat dalam gotong royang tidak berikan sebarang bayaran. Biasanya
sebagai ‘upah’ mereka dijamu dengan nasi atau bubur.
Amalan
itu membentuk hubungan yang cukup akrab di kalangan penduduk kampung. Masyarakat
dahulu mementingkan hubungan erat dan tolong menolong.
No comments:
Post a Comment