Bagi
yang melihat perpecahan, wajib baginya melakukan usaha mengembalikan
perpaduan. Usaha dilakukan itu perlu
berhemah dan bukannya membawa kepada keadaan lebih buruk.
Cara
berfikir memang berbeza antara satu sama lain, tetapi agama telah menunjukkan
batas-batas perbezaan itu. Hakikatnya
Islam dibina atas kesatuan akidah, ibadah, akhlak, matlamat, cara hidup dan
panduan yang sama iaitu al-Quran dan sunnah.
Firman
Allah bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali (agama) Allah,
jangan kamu berpecah belah. Ingatlah
akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah
mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi satu saudara dengan kurnia-Nya.”
(Surah Ali Imran, ayat 103).
Setiap
antara kita mengaku mengesakan hanya Allah Yang Satu. Justeru, matlamat hidup juga adalah satu,
yakni mencari keredaan Allah. Kita
menjadi hamba-Nya yang semata-mata melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan
apa yang ditegah.
Sesungguhnya
sesiapa yang benar-benar menghayati ajaran Islam tidak sekali-kali menyukai
kepada perpecahan, keganasan dan kemusnahan. Islam diturunkan kepada manusia untuk dijadikan panduan hidup yang
memenuhi fitrah manusia ingin hidup dalam sejahtera, aman dan selamat.
Malah
makna Islam sendiri membawa maksud sejahtera, aman dan selamat. Allah menyeru manusia agar menikmati
kesejahteraan hidup secara mutlak melalui Islam.
Firman
Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam
(keamanan, kesejahteraan) secara keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).
Sesiapa
menerima Islam bermakna perlu menghayati perpaduan yang membawa kepada keamanan
dan kesejahteraan yang bukan saja dalam lingkungan orang Islam, bahkan seluruh
manusia dan makhluk di muka bumi ini.
Islam
menegah umatnya mencetuskan sesuatu yang boleh mendatangkan perpecahan dalam semua ertikata. Kehalusan dan ketelitian ajaran Islam
mencegah berlaku perpecahan dalam hubungan sesama manusia dapat dilihat melalui
perintah agar manusia sentiasa merendahkan diri.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Amat baiklah orang yang merendahkan dirinya bukan ketika
dia miskin, tetapi juga ketika berada (senang).” (Hadis riwayat Tabrani dan
Bazar).
No comments:
Post a Comment