Saturday, 21 August 2021

KEBAIKAN BERJALAN 10,000 LANGKAH SEHARI

 
Berjalan 10000 langkah sehari banyak beri kebaikan serta manfaat untuk kesihatan. Mengikut kajian, faedah berjalan 10,000 langkah sehari satu keperluan untuk kehidupan sihat, ceria dan bahagia. 
 
Jumlah 10,000 langkah bersamaan berjalan kaki kira-kira 6 kilometer sehari. Individu berjalan melebihi 10,000 langkah sehari, dianggap sebagai seorang yang aktif dan sihat dari segi fizikal. 
 
Walaupun jumlahnya agak besar dan mencemaskan, seseorang tidak perlu berjalan terus sejauh 10,000 langkah. Kiraan itu adalah berdasarkan bilangkan langkah yang dilakukan sepanjang hari.  
 
Sebenarnya jumlah itu tidak banyak dan bukan sukar untuk dilaksanakan kerana memang kita sepanjang hari telah berjalan. 
 
Untuk meningkatkan jumlah langkah dalam sehari, cuba gunakan tangga dan elak menggunakan lif atau eskalator. Jadikan berjalan kaki di taman sebagai rutin mingguan anda. 
 
Amalan ini bukan sahaja membolehkan anda melakukan langkah yang diperlukan bagi memperoleh tubuh dan minda yang lebih sihat, malahan anda juga dapat menghirup udara yang bersih, segar dan nyaman. 
 
Bawa rakan-rakan bersama anda. Kemungkinannya, anda perlukan sekumpulan penyokong untuk membolehkan anda meneruskan usaha tersebut. 
 
Anjurkan kumpulan berjalan kaki sama ada dengan rakan sepejabat, dari universiti, sekolah ataupun kawasan kejiranan anda. 
 
Anda tidak akan rasa keseorangan bahkan anda boleh memberi dorongan antara satu sama lain untuk terus berjalan kaki dan mewujudkan persaingan sihat sesama sendiri. 
 
Pun begitu, jika anda lebih gemar berjalan bersendirian, teruskanlah nikmati waktu bersendirian itu sambil berjalan kaki. 
 
Walau apa pun, pastikan senaman berjalan kaki ini menjadi sebahagian daripada rutin harian anda. Lama-kelamaan anda akan dapati bahawa anda telah berjalan lebih daripada 10,000 langkah.

No comments:

Post a Comment