Monday 25 July 2022

JAMBATAN PULAU BELURU, TUMPAT

 
Jambatan Pulau Beluru menghubungkan dua pulau utama di delta Sungai Kelantan iaitu Pulau Beluru dengan Pulau Renjuna. Fungsi jambatan tersebut bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk di dua pulau berkenaan, bahkan juga pulau-pulau lain yang masing-masing disambungkan pula dengan jambatan lain. 
 
Jambatan Pulau Beluru perah musnah pada tragedi Bah Kuning pada penghujung tahun 2014. Jambatan yang ada sekarang dibina baharu dengan kos keseluruhan RM670,000. 
 
Penyiapan jambatan baharu itu sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi kira-kira 3,000 penduduk di kawasan pulau yang terputus jalan perhubungan darat akibat bencana banjir luar biasa yang melanda seluruh negeri ini. 
 
Pembinaan semula jambatan berkenaan mengambil masa selama dua bulan dan penyiapannya dapat kembali menghubungkan Pulau Teluk Renjuna, Pulau Beluru dan pulau-pulau sekitar. 
 
Jambatan Pulau Beluru memberi kemudahan kepada pelajar yang tinggal di Pulau Renjuna untuk berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru. Ia juga memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Beluru, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Suri untuk ke Pulau Renjuna yang menampatkan Masjid Mukim Teluk Renjuna dan Klinik Kesihatan Teluk Renjuna.

No comments:

Post a Comment