Kebanyakan kita tidak faham maksud
angan-angan sebenarnya. Berangan-angan dianggap negatif. Sedangkan maksud
‘angan’ mengikut Kamus Dewan ialah fikiran, ingatan, menungan. Perkataan
imbuhan ‘berangan-angan’ bermaksud mempunyai angan-angan (cita-cita, ingatan,
keinginan).
Jadi, jika ada orang berkata
‘berangan-angan’, itu satu ungkapan yang amat baik. Biasanya kita ketawa jika
orang berangan-angan. Bahkan, kita sentiasa mengingatkan orang lain agar jangan
berangan.
Kita perlu berfikir dan mengkaji sesuatu
perkara untuk mencari kebenarannya. Jangan sekali-kali mudah menerima
bulat-bulat sesuatu yang sudan menjadi kebiasaan, sedangkan belum tentu betul
lagi.
Angan-angan yang diikuti dengan usaha adalah tindakan orang bijak. Perancangan
yang hendak dilakukan hendaklah mengikut tingkat lojik.
Inilah dilakukan Mat Jenin dengan memanjat
pokok kelapa sebagai permulaan untuk mencapai cita-citanya. Sebenarnya Mat
Jenin bijak dan perancang yang menjadikan kenyataan.
Cara Mat Jenin berfikir perlu dipraktikkan
untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Nasib kita boleh diubah jika kita berfikir
dan melakukan sesuatu yang betul. Buka betul-betul fikiran dan pandangan kita
jauh ke hadapan.
Sepatutnya, peribahasa ‘angan-angan Mat
Jenin’ perlu ditukarkan kepada ‘fikir-fikir Mat Jenin’, sesuai dengan
prospektif baru yang diberikan kepada cerita Mat Jenin. Fikir-fikir Mat
Jenin bermaksud, orang yang berfikiran serius dan lojik atau menunjukkan orang
yang bersemangat tinggi dan kuat bekerja untuk mencapai kejayaan.
Kamus Dewan perlu ‘memadamkan’ huraian
maksud ‘angan Mat Jenin’ yang bermaksud harapan (atau mengharapkan sesuatu)
yang mustahil. Sebaliknya perkataan baru perlu ditambah dalam Kamus Dewan iaitu
‘fikir Mat Jenin’ yang bermaksud sesuatu yang difikirkan secara bersistematik
dan diikuti dengan usaha yang wajar.
Dengan pertukaran itu tentu ramai berbangga
dipanggil Mat Jenin, bukan seperti sekarang yang gelaran itu menyebabkan rasa
marah dan tidak senang. Penukaran peribahasa Mat Jenin boleh
dilakukan dengan mudah kerana tidak perlu dibawa untuk dibahaskan di
Parlimen atau Dewan Negara.
Tambahan cerita itu hanya rekaan
semata-mata dan tidak kena mengena dengan orang masih hidup atau sudah mati. Bahkan,
pengarang cerita itu juga tidak diketahui. Jadi, tidak timbul soal hak cipta
untuk menukar plot cerita itu.
Perkara ini sebenarnya bukan perkara baru.
Dahulu di Kedah pernah ditubuhkan Kelab Mat Jenin yang antara lain bertujuan
menggalakkan ahlinya mempunyai cita-cita tinggi dan bersemangat melakukan
sesuatu.
Tindakan ini mengubah ‘nasib’ Mat Jenin
yang sepanjang zaman dipandang serong oleh bangsanya sendiri. Kita sepatutnya
berbangga digelar Mat Jenin. Mat Jenin mengajar anak bangsa cara berfikir
bagaimana hendak berjaya.
Dengan pertukaran peribahasa Mat Jenin
kepada maksud positif, diharapkan dapat memulihkan maruah bangsa Malayu yang
dianggap suka berangan-angan dan malas bekerja.
No comments:
Post a Comment