Wednesday, 4 January 2023

KEISTIMEWAAN SAHABAT BERBANDING RAKAN

  
Ada orang membezakan status sahabat dan kawan. Sahabat dikatakan lebih rapat dan hubungan istimewa berbanding dengan kawan. Maka lahirlah ungkapan kita mungkin mempunyai ramai kawan namun belum tentu semuanya dalam kategori sahabat.
 
Sahabat itu sentiasa berada dekat dalam kehidupan. Ketika senang, dialah bersama meraikannya dan ketika susah dia tetap bersama dengan menghulurkan bantuan.
 
Sebab itu, perkataan sahabat digunakan sebagai nama kumpulan, organisasi dan sebagainya sebagai tanda keakraban hubungan yang terbentuk atau diharapkan.
 
Sedangkan hampir tidak ditemui kumpulan yang menggunakan nama ‘rakan’, kecuali syarikat yang mash menggunakan perkataan tersebut sebagai tanda syarikat perkongsian.
 
Dalam sirah Rasulullah SAW, perkataan sahabat digunakan sebagai pengenalan kepada mereka yang hidup pada zaman ketika Islam mudah disebarkan.
 
Lalu, dikisahkan tentang pengorbanan sahabat dalam membantu dan bersama-sama Rasulullah menyebarkan syiar Islam, terutama ketika peringkat awal. Nama sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Ali adalah watak-watak penting dalam sejarah dakwah Rasulullah SAW.
 
Sahabat Rasulullah SAW memainkan peranan yang besar dalam membantu baginda menjalankan amanah sebagai seorang Rasul.
 
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Muhammad ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas)."  (Surah al-Fath, ayat 29)
 
Begitulah besarnya peranan yang dimainkan oleh sahabat Rasulullah SAW. Hidup mereka dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyebarkan Islam bersama-sama Rasulullah SAW. Saat suka dan duka diharungi bersama dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia. Akhirnya, Allah SWT menjanjikan syurga buat sahabat Rasulullah SAW.
 
Allah SWT berfirman yang maksudnya:  "Dan orang terdahulu yang lebih awal masuk Islam iaitu Muhajirin dan Ansar dan golongan yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Allah serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar."  (Surah at-Taubah, ayat 100)
 
Sahabat Rasulullah SAW adalah generasi terbaik dalam sejarah umat Islam. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah SAW ketika menjawab soalan seorang sahabat yang mengajukan soalan:
 
"Siapakah antara golongan manusia yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW: "Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu.
 
“Kemudian datang satu kaum yang mana penyaksian mereka mendahului sumpah dan sumpah mendahului penyaksian."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment