Wednesday, 28 December 2022

KESAN NAIK TURUN OPR KEPADA PENGGUNA

  
Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate - OPR) bermaksud kadar faedah yang ditetapkan untuk pinjaman oleh sebuah institusi depositori (bank) daripada institusi depositori yang lain dalam pasaran semalaman (satu hari).
 
Penetapan OPR ini adalah di bawah pengurusan Jawatankusa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).
 
Secara amalan, bank boleh meminjam dari bank lain dan ia amalan biasa dalam industri perbankan. Jumlah wang dalam sesebuah bank berubah setiap hari, bergantung kepada aktiviti pinjaman yang dijalankan atau aktiviti pengeluaran dan deposit wang oleh pelanggannya.
 
Setiap hari, apabila tamatnya tempoh perniagaan, sesebuah bank mungkin mempunyai tunai yang kurang atau lebih daripada nilai yang sepatutnya, disebabkan aktiviti pinjaman, pengeluaran atau deposit pada hari tersebut.
 
Jika sesebuah bank kekurangan tunai, ia akan menghadapi masalah kecairan untuk meneruskan operasi pada hari seterusnya. Oleh itu, bank lain yang mempunyai lebihan tunai akan membuat pinjaman kepada bank tersebut dan pinjaman tersebut dikenakan faedah.
 
Kadar asas untuk faedah tersebut yang dikenali sebagai OPR.
 
Walaupun OPR menetapkan kadar faedah asas untuk pinjaman yang dilakukan antara bank dengan bank, ia turut memberi kesan kepada kos pinjaman kita sebagai pengguna.
 
Jika kos pinjaman antara bank dengan bank meningkat, peningkatan itu akan dipindahkan kepada pelanggan. Begitu juga jika kos pinjaman tersebut berkurang, pelanggan juga akan merasai pengurangannya.
 
Perubahan OPR akan memberi kesan kepada kadar faedah pinjaman yang kita ambil. Ini termasuk pinjaman perumahan dan peribadi.
 
Lebih tinggi OPR, lebih tinggi bayaran bulanan yang perlu dibayar. Namun, nilainya tidaklah terlalu besar memandangkan perubahan OPR kebiasaannya dalam nilai asas yang minimum.
 
Dari perspektif ekonomi yang lebih makro, perubahan OPR juga memberikan kesan kepada tabiat perbelanjaan pengguna dan ia dijadikan instrumen untuk mengawal inflasi atau mengelakkan deflasi.
 
Apabila OPR diturunkan, kos pinjaman pun akan berkurang. Ini akan memberikan lebih tunai di tangan rakyat untuk berbelanja dan membolehkan lebih ramai pengguna membuat pinjaman, termasuk syarikat-syarikat kecil yang terpaksa menanggung kerugian apabila ekonomi ditutup. 
 
Dengan cara ini, ekonomi negara boleh terus bergerak walaupun perlahan disebabkan pandemik.
 
Begitu juga, apabila ekonomi sedang rancak dan wujud ancaman inflasi yang pesat, OPR akan dinaikkan untuk mengawal harga barang.
 
Teorinya, dengan kenaikan OPR, pengguna dan perniagaan akan kurang meminjam serta kurang berbelanja. Ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang yang disebabkan oleh tarikan permintaan.
 
Peningkatan OPR akan menyebabkan kos pembiayaan dan pinjaman individu serta perniagaan meningkat. Ini akan mengurangkan permohonan pinjaman dan perbelanjaan seterusnya  menggalakkan simpanan.
 
Jika ini berlaku, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan berkurang berbanding penawaran, menyebabkan harga barang serta kadar inflasi turun.

No comments:

Post a Comment