Friday 25 May 2018

KISAH KHADIJAH PENGORBANAN ISTERI UNTUK SUAMI

Sejarah perjuangan Rasulullah menyebarkan Islam agama tauhid banyak dibantu oleh isteri baginda Khadijah binti Khuwalid yang sanggup menghadapi segala kesengsaraan dan cemuhan daripada kafir Quraisy akibat yang membantah terhadap perjuangan Rasulullah. 

Sepanjang 25 tahun menjadi isteri Rasulullah, Khadijah rela mengetepikan kedudukannya yang sepatutnya dipandang mulia dan menikmati kemewahan hidup. Khadijah memiliki kekayaan dan kedudukan tinggi sebelum berkahwin dengan Rasulullah. 

Khadijah membelanjakan hampir seluruh kekayaannya untuk perjuangan Rasulullah menyebarkan Islam. Beliau sanggup dicaci dan dipulau oleh masyarakat semata-mata menyokong apa yang dilakukan Rasulullah. Khadijah menjadi orang pertama percaya dan beriman kepada ajaran Islam.

Pengorbanan dan sumbangan Khadijah sentiasa disebut-sebut Rasulullah walaupun selepas Khadijah meninggal dunia. Pengorbanan Khadijah yang tiada tandingan itu mengatasi apa yang mampu dilakukan oleh wanita lain. Hal itu sehingga menimbulkan cemburu di kalangan isteri-isteri Rasulullah yang lain. 

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah katanya: “Aku tidak pernah cemburu kepada seseorang pun di antara isteri-isteri Rasulullah, sebagaimana aku mencemburui Khadijah, sedang aku belum pernah menatap muka dengan dia (Khadijah meninggal dunia sebelum Nabi berkahwin dengan Aisyah).” 

“Akan tetapi Nabi sering teringat dan menyebut-yebut dia, bahkan kerap beliau menyembelih kambing lalu dibahagi-bahagi kepada teman-teman Khadijah (sebagai tanda ingatan terhadap Khadijah), dan aku sendiri acap kali menyatakan kepada Nabi: “Seperti tidak ada perempuan lain di dunia ini selain Khadijah.” 

Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya dia pernah ada dan tetap ada (tersimpan dalam ingatanku), dari dialah aku mendapat anak.”

Sikap Nabi yang sedemikian terhadap Khadijah adalah membuktikan besarnya peranan isteri membantu suami ketika senang maupun susah. Kekuatan lelaki adalah kerana adanya wanita di sisinya.  

Kesempurnaan hidup seorang lelaki yang berbangga dengan kedudukan yang dicapainya sebenarnya bermula dari didikan dan kemampuan seorang wanita bergelar ibu. Tidak sempurna kehidupan seseorang tanpa terlebih dahulu dididik dan dibentuk pekertinya oleh seorang wanita.

Kejayaan seorang lelaki ada di sisinya seorang wanita. Ibu, kakak, dan isteri sentiasa memberi sokongan moral dan membantu apa yang diperlukan oleh lelaki. Dengan kata lain, sumbangan yang dilakukan lelaki kepada kecemerlangan ummah secara langsung juga adalah hasil yang diusahakan oleh wanita. 

Oleh itu wanita tidak perlu merasa terpinggir atau tidak diperlukan.  Sebenarnya masyarakat mengiktiraf sumbangan wanita yang disumbangkan melalui suaminya. 

Suami yang dianugerahkan gelaran Datuk, turut memberi gelaran Datin untuk isterinya. Tetapi, seseorang wanita yang diberikan anugerah gelaran, tidak pula turut diberikan kepada suaminya.    

No comments:

Post a Comment