Wednesday 30 May 2018

CATATAN SEJARAH GEMILANG ISLAM DICAPAI BULAN RAMADAN

Seluruh umat Islam wajar melihat sejarah kegemilangan umat Islam yang dicapai pada bulan Ramadan dan menjadikan ia pembakar semangat untuk mengulangi kembali kejayaan itu dalam apa jua bidang atau tugas yang dilakukan.

Antara sejarah kejayaan umat Islam yang dicatat pada bulan Ramadan ialah kejayaan tentera Islam mengalahkan tentera kafir dalam Perang Badar. Peperangan itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, di satu tempat kawasan lembah dekat kota Madinah yang dikenali Badar.

Peperangan itu berlaku disebabkan hasutan kaum Yahudi yang tidak senang melihat kejayaan Rasulullah mentadbir masyarakat Madinah dengan aman serta semakin banyak yang memeluk agama Islam biarpun baru dua tahun berlaku Hijrah. Kaum Yahudi di Madinah mengambil kesempatan persiapan perang yang dilakukan oleh kafir Quraisy Makkah, lalu mengapi-apikan agar serangan itu disegerakan.  

Kedudukan kaum Muslim ketika itu belum betul-betul kuat. Bilangan kaum Muslim belum banyak dan peralatan perang yang dimiliki amat kurang berbanding yang digunakan oleh musuh. Tambahan pula, Rasulullah seboleh-bolehnya ingin mengelak daripada berlaku peperangan kerana berpendapat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan perlu lebih diutamakan dalam usaha melakukan dakwah.

Namun, merasakan itulah satu-satu cara untuk mempertahankan kedudukan kaum Muslim, dan turunnya wahyu agar berperang (sedangkan peperangan bukan perkara yang diingini), maka Rasulullah menyiapkan satu angkatan perang yang disertai oleh 300 orang tentera. 

Kekuatan itu jauh lebih kecil berbanding kekuatan tentera musuh seramai 1,000 orang. Ini bererti seorang tentera Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Namun atas kekuatan semangat dan jihad mempertahankan keselamatan seluruh kaum Muslim, dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh tentera Muslim. 

Pada tahun Kelapan Hijrah pula tercatat kejayaan kaum Muslim membebaskan kota Makkah daripada kekuasaan kafir Quraisy. Tanggal 18 Ramadan tahun itu, Rasulullah bersama-sama 12,000 kaum Muslim bertolak dari Madinah ke kota Makkah untuk membebaskan Makkah. 

Pembebasan kota Makkah atau lebih terkenal disebut Futuh Makkah menandakan satu era baru dalam sejarah perkembangan Islam. Kalau sebelum itu hanya kota Madinah yang menjadi pusat pengembangan Islam, penguasaan terhadap Makkah yang menjadi kiblat (iaitu Kaabah) untuk seluruh umat Islam, menambahkan kekuatan syiar Islam.

Sebelum Makkah dikuasai kaum Muslim, kafir Quraisy di Makkah sentiasa merancang memerangi kaum Muslim di Madinah, termasuk mengepung penduduk Madinah selama berminggu-minggu dalam Perang Ahzab. 

Mengikut catatan sejarah, selain sikap berterusan kafir Quraisy memusuhi Islam, tindakan Rasulullah ingin menguasai Makkah disebabkan kafir Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiah yang antara lain kandungannya melarang berlaku serangan ke atas mana-mana pihak atau ke atas pihak -pihak yang mengadakan perjanjian dengan mereka.

Kafir Quraisy melanggar perjanjian itu apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani Khuzzah yang berada dalam naungan Islam. Serangan Bani Bakr dibantu pihak Quraisy sehingga menyebabkan banyak orang dari Bani Khuzzah terbunuh.

Tindakan kafir Quraisy menimbulkan kemarahan kaum Muslim dan sekaligus mengambil tindakan memerangi kafir Quraisy di kota Makkah. Kafir Quraisy yang sedar kesalahan dilakukan mereka mencabuli perjanjian itu telah menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Rasulullah untuk memohon maaf, namun ia ditolak. 

Apabila Rasulullah bersama-sama bala tentera berada berhampiran kota Makkah, kafir Quraisy yang sedar mereka tidak mampu menandingi kekuatan tentera Muslim tidak melakukan sebarang penentangan, bahkan menyerahkan nasib mereka kepada Rasulullah. Tentera Muslim berjaya memasuki kota Makkah dengan aman biarpun terdapat sedikit pertempuran. 

No comments:

Post a Comment