Wednesday 30 May 2018

LIPATAN SEJARAH PENTING KEJAYAAN PADA BULAN RAMADAN

Pada Ramadan berlakunya peristiwa kejayaan tentera Islam menguasai Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang juga dikenali Futuh Andalusia itu berlaku pada tahun ke 91 Hijrah. Kaum Muslim di bawah pimpinan Thariq bin Ziad telah berhasil meluaskan penguasaan umat Islam yang sebelum itu telah menguasai kawasan utara Afrika. 

Penguasa Islam ketika itu, Musa bin Nushair memerinthkan Thariq bersama-sama 7,000 orang tentera Muslim menyerang Andulusia setelah permintaan untuk mengembangkan agama Islam di situ ditolak. Bermula dengan menaiki kapal menyeberang Teluk Gibraltar, setelah mendarat di Andalusia, Thariq telah memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh bersemangat bagi menaikkan semangat tentera Islam.

Ucap Thariq: "Musuh di hadapan kamu. Apabila kamu berundur, lautan di belakang kamu. Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatan berjuang di jalan Allah atau mati ditelah lautan."

Ucapan Thariq itu berjaya membakar semangat tentera Muslim untuk berjuang bermati-matian sambil mengharapkan pertolongan Allah. 

Para tentera menyahut seruan Thariq itu dengan berkata: "Kita datang ke sini, tidak untuk kembali lagi. Kita berada di sini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada kita menakluki negeri ini, menetap di sini dan menyebarkan Islam atau kita semua akan binasa."

Semangat jitu itu membolehkan tentera Islam menawan satu demi satu kota atau kedudukan tentera Andalusia sehingga akhirnya keseluruhan kerajaan Andalusia yang mempunyai lebih 100,000 orang tentera berjaya dikuasai tentera Islam yang hanya berjumlah 12,000 orang (tambahan 5,000 orang daripada jumlah kumpulan pertama seramai 7,000 orang) pada bulan Ramadan tahun 91 Hijrah.

Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu dan mercu peradaban manusia di benua Eropah. Selain itu, pada bulan Ramadan juga tentera Islam berjaya menguasai daerah Ghaal di Perancis atau kini dikenali Pays des Gualles.

Seterusnya, Ramadan tahun 584 Hijrah turut mencatatkan kejayaan cemerlang umat Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya mengalahkan tentera Salib. Dengan kemenangan itu, kota Baitulmaqdis dan bumi Palestin kembali kepada pangkuan umat Islam.

Berdasarkan sejarah besar yang berlaku pada bulan Ramadan itu, wajar sekali umat Islam menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai pemangkin untuk mencipta kejayaan dalam hidup sendiri, untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. 

Semangat jitu yang terbina hasil didikan melaksanakan puasa perlu disalurkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan usaha secara bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan cemerlang.

Amalan puasa yang biasanya dikaitkan dengan rasa lapar dan letih perlu diubah kepada terbentuknya semangat yang lebih hebat berbanding hari-hari biasa. Jiwa yang berjaya mengatasi hasutan syaitan akan memiliki kekuatan untuk menangkis segala ancaman negatif lain yang sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan diri.

No comments:

Post a Comment