Semangat kesukarelawan menjadi sebahagian
daripada budaya kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman. Kerja
gotong-royong yang berakar umbi dalam amalan orang Melayu merupakan salah satu
bentuk kerja sukarela. Sukarela bermaksud bekerja atas kemahuan sendiri dan
tanpa dipaksa.
Sumbangan kesukarelawanan kepada individu dapat dilihat menerusi aspek pembangunan personal, sosial, kemahiran, kerjaya dan akademik. Bagi masyarakat pula, penglibatan dalam kesukarelawanan dapat memperkuat dan memperkasakan komuniti, meningkatkan integrasi sosial, membina kepercayaan dan ikatan sosial yang kuat, meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Kerja sukarela cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan, iaitu mengasihi orang lain merangkumi ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan termasuk golongan minoriti. Perasaan ihsan digambarkan mewakili soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi membantunya.
Antara kebaikan utama menyertai kerja amal adalah ia dapat memberikan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kepada mereka yang lebih bernasib baik. Misalnya, kejadian banjir yang melanda kawasan perkampungan banyak memusnahkan atau merosakkan kebajikan penduduk kampung seperti perkakas rumah dan pakaian. Oleh itu, sukarelawan yang datang membantu dapat menyumbang kepada kebajikan penduduk terjejas agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan selesa. Hal ini dapat membantu meluaskan kesedaran terhadap kesusahan atau masalah yang dialami oleh sebahagian masyarakat.
Pada masa dahulu kerja-kerja sukarela dilakukan di bawah pengurusan ketua kampung atau penghulu. Namun, sekarang ini banyak kerja kesukarelawan dilakukan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tentunya ada pengerusi dan jawatankuasanya.
Pengurusan kerja-kerja kesukarelawan dibincang dan dirancang oleh pengerusi dan jawatankuasa. Dengan cara itu aktiviti dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berjaya.
Namun, ada juga yang aktif melakukan kerja kesukarelawan hanya apabila ada jawatan. Tanpa jawatan, mereka menjauhkan diri daripada NGO yang disertai. Bahkan, ada yang meninggalkan NGO yang disertai apabila tidak mendapat jawatan yang direbut atau diingini.
Amat malang jika aktif dalam aktiviti NGO hanya apabila ada jawatan tertentu sahaja. Sedangkan sama ada berjawatan atau tidak, tugas yang dilakukan tetap sukarela dan tidak mendapat balasan kewangan. Sepatutnya, tanpa jawatan lebih mudah untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawan kerana tidak perlu banyak masa, tenaga, fikiran dan kewangan digunakan. Sekada ikut dan lakukan dengan ikhlas serta terbaik.
No comments:
Post a Comment