Menurut teori politik yang agresif, tugas utama pembangkang
hanyalah menjadi pengkritik mutlak tanpa beban untuk menyelesaikan masalah.
Tanpa pembangkang, kerajaan boleh menjadi terlalu selesa dan
cenderung membuat keputusan yang berat sebelah. Kritikan pembangkang memaksa
menteri-menteri berfikir dua kali dan memperkemas pelan tindakan mereka sebelum
dilaksanakan.
Oleh itu, pembangkang yang kuat adalah tanda demokrasi yang
sihat, bukannya tanda perpecahan untuk dijadikan keluhan.
Beban pembuktian tertanggung pada Kerajaan. Pemerintah
memegang kuasa, bajet, dan agensi penjawat awam, maka mereka bertanggungjawab
sepenuhnya untuk membina negara.
Tugas pembangkang adalah mencari dan mendedahkan lubang atau
kecacatan dalam dasar kerajaan, bukannya menampalnya.
Dengan menyerang setiap keputusan, pembangkang memaksa
kerajaan sentiasa berjaga-jaga dan menghalang pembentukan kerajaan kuku besi.
Sama ada pembangkang bertindak membina atau toksik,
tanggungjawab paling besar tetap di bahu kerajaan untuk melindungi ruang
demokrasi. Ini termasuk menjamin kebebasan bersuara, menghormati hak membantah,
dan memastikan institusi undang-undang kekal berkecuali daripada kepentingan
politik peribadi.
Rakyat pula berperanan sebagai hakim di tengah-tengah
pertembungan kerajaan dan pembangkang. Kerajaan tidak boleh merintih walaupun
jika pembangkang bertindak toksik kerana kerajaan berkuasa atas wang serta ada
jentera agensi kerajaan dan penjawat awam yang patuh untuk melaksanakan arahan
eksekutif mereka, bermula daripada mencari idea, melaksana dan menilai
keberkesanan kerja kerajaan.
Dalam situasi kritikan mutlak ini, ujian sebenar adalah bagi
pihak kerajaan. Kerajaan yang matang tidak akan menggunakan kuasa undang-undang
untuk menyenyapkan kritikan toksik tersebut. Sebaliknya, mereka wajib
membuktikan kejayaan dasar mereka melalui hasil yang nyata kepada rakyat,
sambil mengekalkan ruang demokrasi untuk pembangkang terus bersuara.
Dengan segala sumber yang dikuasai dan dengan jentera agensi
awam yang dibiayai negara, tugas kerajaan ialah menunjukkan kepada rakyat
bahawa mereka sentiasa hadir memberi kebaikan kepada rakyat. Tugas pembangkang
pula ialah membuktikan kepada rakyat/pengundi bahawa kerajaan telah gagal.
Jika rakyat menghakimi bahawa kerajaan telah gagal, maka
merekalah yang akan memutuskan untuk mengganti kerajaan, jika sebaliknya rakyat
akan mengekalkan penguasaan kerajaan.
Contoh popular politik agresif ini ialah Korea Selatan.
Korea Selatan terkenal dengan budaya politiknya yang sangat sengit dengan parti
pemerintah dan pembangkang sukar menemui jalan tengah.
Bukan ironi, berbanding negara rakan sebaya dulu, Korea
Selatan amat cepat memasuki Liga Negara Maju kerana politik agresif itu.
Oleh: Nordin Kardi
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment