Monday, 12 May 2025

HUKUM CAS TELEFON BIMBIT DALAM MASJID

 
Masjid dibina melalui harta wakaf yang disalurkan oleh sebahagian pihak atau individu untuk manfaat ibadah bagi umat Islam.
 
Selain binaan masjid barang keperluan, perkakas, kemudahan masjid juga wujud atas hasil wakaf dan derma orang ramai sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit.
 
Kemudahan masjid yang wujud melalui derma orang ramai antaranya ialah elektrik dan air. Kedua-duanya hanya boleh dimanfaatkan pada perkara yang bersesuaian dengan fungsi masjid. Sebagai contoh air diwakafkan untuk berwuduk dan keperluan dalam tandas, manakala elektrik untuk pencahayaan masjid dan kepentingannya yang lain.
 
Bahan kemudahan masjid ini hanya dibenarkan pada urusan yang berkaitan dengan urusan ibadah, kepentingan masjid dan maslahatnya. Oleh itu kemudahan ini tidak boleh untuk tujuan peribadi, melainkan diterima uruf (kebiasaan masyarakat setempat) seperti urusan hajat dalam tandas dan minum.
 
Sebagai contoh air masjid hanya untuk kegunaan wuduk dan seumpamanya, malah diharamkan pindah air tersebut ke tempat lain, seperti seseorang itu menggambil air dari masjid kemudiian minum di rumahnya (kalau minum di masjid tidak mengapa).
 
Jadi status elektrik masjid diqiyaskan dengan air wakaf yang tidak boleh dibawa keluar. Perkara ini ditegaskan dalam Kitab “Nihāyat al-Zain”: Maksudnya: Tidak harus (haram) memindahkan air yang diwakafkan untuk minuman dari tempat asalnya ke tempat lain, seperti mengambilnya untuk diminum di rumah sebagai contoh.
 
Oleh yang demikian, penggunaan elektrik untuk mengecas telefon bimbit peribadi adalah haram kerana ia tidak dikategorikan sebagai kepentingan dan maslahat masjid, bahkan kepentingan peribadi semata-mata.
 
Para ulama menegaskan bahawa barangan dan kemudahan wakaf tidak boleh digunakan untuk keperluan peribadi melainkan yang diterima oleh uruf seperti hajat di tandas dan wuduk.
 
Kitab Hāsyiat al-Syubrāmallisi ʿalā al-Nihāyat menjelaskan perkara ini: "Sesuatu yang diwakafkan untuk kegunaan umum umat Islam, maka tidak halal bagi seseorang mengambil apa-apa daripadanya walaupun sudah menjadi adat dengan kelonggaran darinya, seperti minum dari tempat air atau berwuduk dengan air yang diwakafkan.
 
Jika seseorang menggunakan kemudahan masjid untuk tujuan peribadi, maka dia wajib membayar sewa sebagai bayaran manfaat yang digunakan, bukan digunakan secara percuma.
 
Perkara ini ditegaskan oleh Imam al-Syirbini dalam kitab Mughnī al-Muḥtāj: "Jika seseorang menggunakan suatu bahagian daripada masjid dengan (meletakkan) barangnya, maka dia wajib membayar sewanya jika dia tidak menutupnya. Jika dia menutupnya, maka dia wajib membayar sewa keseluruhan bahagian tersebut."
 
Bayaran itu wajib disalurkan untuk manfaat masjid, iaitu dalam konteks sekarang wang bayaran itu diserahkan pada AJK masjid atau tabung masjid. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Fatḥ al-Mu'īn: "Jika seseorang menggunakan masjid dengan barang-barangnya, maka dia wajib bayar sewa, dan sewa itu digunakan untuk kepentingan masjid menurut pendapat yang lebih kuat."
 
Adakah boleh minta izin daripada pihak pentadbir masjid untuk cas hset tanpa perlu bayar? Masjid dan kemudahannya bukan milik pentabdir masjid. Pihak pentadbir hanya menjaga amanah para penderma dan pewakaf sahaja. 

Jadi pihak pentadbir masjid tiada hak untuk memberi keizinan untuk tujuan peribadi individu. Tanggungjawab pentadbir hanya memastikan kemudahan-kemudahan dalam masjid disalurkan berdasarkan niat pewakaf dan penderma, iaitu untuk kepentingan dan maslahat masjid.
 
Oleh:
Syed Shahridzan Syed Mohamed