Mudahnya menderma darah.
Menderma darah sangat ringkas dan tidak menyakitkan.
Tentunya juga tidak mendatangkan bahaya kepada penderma, tetapi amat besar
maknanya kepada penerima.
Mudah sahaja untuk menderma darah, tetapi itulah satu
tindakan yang boleh menyelamatkan nyawa. Penderma darah adalah hero yang tidak
didendang.
Individu yang kehilangan darah sebanyak 1.5 hingga 2 liter
akibat kemalangan, pendarahan dalaman, bersalin, pengeluaran darah haid
berlebihan, ulser perut atau pembedahan perlukan pemindahan darah untuk
menyelamat nyawa atau membantu fungsi organ badan.
Dengan darah yang didermakan membawa seribu harapan kepada
penerima. Sebab itu ada ungkapan "setitik darah sejuta harapan".
Proses menderma darah hanya mengambil masa kira-kira lima
hingga 10 minat selepas titisan pertama mengalir dari badan ke beg darah di
bahagian bawah.
Kuantiti darah yang didermakan atau diambil daripada badan
penderma adalah sekitar 350 ml, bergantung kepada berat badan penderma.
Jumlah yang diambil itu tidak mendatangkan bahaya atau
mengurangkan fungsi darah dalam badan.
Bahkan, banyak penderma darah mengaku keadaan diri menjadi
lebih segar dan sihat setelah kerap menderma darah.
Penderma tidak rugi apa-apa akibat menderma darah. Sel darah
yang didermakan akan diganti melalui proses yang dipanggil hematopoiesis di
dalam sumsum tulang. Sumsum tulang menghasilkan sekitar 95 peratus sel darah
dalam badan.
Manakala komponen cecair darah (plasma) berasal daripada
air, nutrisi, dan protein yang dihasilkan oleh organ seperti hati.
Sel darah merah yang hilang selepas menderma darah biasanya
diganti oleh badan dalam tempoh 4 hingga 8 minggu (sekitar 1 hingga 2 bulan),
manakala kandungan cecair (plasma) diganti dalam masa 24 hingga 48 jam.
Penderma darah boleh menderma darah sekali dalam tempoh tiga
bulan atau bagi penderma darah aktif boleh melakukan pendermaan darah selepas
lapan minggu menderma kali terakhir.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment