Wednesday 20 December 2017

BELAJAR SEPANJANG HAYAT

Mengapa umat Islam masa kini meninggalkan kewajipan menuntut ilmu dan menganggap setelah tamat sekolah secara formal, pendidikannya sudah tamat.

Oleh kerana mengambil sikap ‘tidak mahu belajar" telah menyebabkan umat Islam bukan sahaja merupakan kelompok pengguna yang terbesar, bahkan tidak bersedia membina tamadun yang lebih besar sebagaimana telah dimulakan oleh intelektual Islam terdahulu.

Kebanjiran konsep pengetahuan yang berasaskan sistem nilai Barat telah menyebabkan ramai umat Islam hanya melihat konsep pendidikan itu hanyalah sebagai suatu bentuk pelaburan ekonomi, dan bukannya sebagai benteng kekuatan ummah.

Masalah ini telah menyebabkan tidak ramai umat Islam yang berani menonjolkan diri sebagai pencipta teknologi dan pencetus inovasi bagi membantu manusia hidup dengan lebih baik, aman dan harmoni.

Secara lazimnya pendidikan berlaku dalam dua keadaan, iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.

Pendidikan formal biasanya dilaksanakan secara bersistem termasuk menerusi proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Manakala pendidikan tidak formal berlaku di mana-mana sahaja, menerusi pembacaan, pergaulan dan majlis-majlis ilmu.

Kita sebenarnya berpeluang luas untuk meneruskan pembelajaran secara tidak formal. Apa saja yang kita pelajari, itu adalah ilmu yang bemanfaat. Pun, janganlan kita belajar ilmu yang membawa kepada keburukan dan melakukan maksiat. 

Namun, bagi mereka yang ingin kepada kelulusan yang diiktiraf dan diukur secara peperiksaan, sekarang ini peluangnya terbuka luas apabila banyak institusi pengajian yang menawarkan pengajian separuh masa. 

Universiti Terbuka Malaysia (Open University Malaysia) antara pusat pengajian tinggi swasta yang membuka peluang pengajian separuh masa kepada rakyat di seluruh. 

OUM mempunyai pusat pembelajaran atau kampus cawangan di seluruh negara.  Bagi memudahkan pelajar, terdapat pusat pembelajaran melebihi satu di sesebuah negeri. 

Pengajian separuh masa membuka peluang kepada pekerja dan sesiapa saja yang mempunyai kelulusan minima untuk mendaftar diri sebagai mahasiswa peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD. 

Bagi yang layak, biarpun belajar separuh masa, mereka boleh meminjam dari Perbadanan Tabung Pengajain Tinggi Nasional (PTPTN).

Seharusnya peluang ini perlu direbut seluruh mereka yang mencintai ilmu. Kita berbangga apabila terdapat pelajar peringkat ijazah sarjana muda sedangkan usia mereka telah mencecah 70 tahun. Bak seperti kata pujangga, menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. 

Apa yang dilakukan itu, insyaalah mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, jika kamu pergi pada suatu pagi dan mempelajari satu ayat dari kitab Allah yaitu Al Quran, maka lebih baik daripada mengerjakan sembahayang sunat seratus rakaat dan jika kamu mempelajari satu bab dari ilmu apakah dapat diamalkan ataupun tidak maka lebih baik bagimu daripada mengerjakan seribu rakaat sembahyang sunat." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment