Monday 18 December 2017

Malaysia peneraju dunia Islam

Pada satu seminar antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin yang diadakan di Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 Jun 2012, bekas Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar, Mesir, Profesor Syeikh Dr. Hamed Mohamed Abdel Rahman pernah menyatakan bahawa terdapat dua negara Islam yang di­lihat boleh menjadi peneraju dunia Islam iaitu Turki dan Malaysia.

Baginya, Malaysia walaupun sebuah negara yang mempunyai latar belakang penduduk berbilang kaum dan perbezaan anutan agama, namun dapat diurus de­ngan baik dan berkesan sehingga menghasilkan suasana makmur dan stabil sejak berabad lalu.

Pada November 2017, Kerajaan Arab Saudi melalui kelolaan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan negara berkenaan menaja sepenuhnya satu seminar peringkat ASEAN yang dinamakan Khayr Ummah Conference 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kerajaan Arab Saudi menaja pengelolaan seminar itu sebagai menyokong usaha Malaysia mempromosikan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan di rantau ASEAN bagi membina penyatuan ummah secara sihat dan saling memperoleh manfaat bersama.

Terbaru, Malaysia diajak berbincang bagi membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta agar Perdana Menteri menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul kerana suara Malaysia dianggap cukup penting dalam isu tersebut.

Malaysia berikrar akan membawa suara umat Islam seluruh Malaysia menolak sebarang cadangan menggadai dan menghina Tanah Suci ketiga umat Islam itu.

Ternyata, Malaysia semakin dihormati di mana pemimpin dan masyarakat dunia. Pengiktirafan dunia luar terhadap Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara Islam sederhana (moderate) tetapi progresif semakin terserlah.

Malaysia maju, makmur dalam kepelbagaian agama, budaya dan keturunan. Malaysia mampu memaparkan kepada dunia Islam tentang cara dan bentuk urus tadbir yang berkonsepkan konsensus, sederhana, inklusif serta adil dan saksama.

Dan segala konsep atau pendekatan itu bertepatan pula dengan maqasid syariah, iaitu mementingkan pemeliharaan terhadap agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Malaysia bersikap terbuka dan konsisten. Berkawan dengan siapa sahaja. Negara ini tidak terikat dengan mana-mana negara kuasa besar dalam jalinan kerjasama, baik dalam bidang ekonomi, sosial mahu pun politik.

Sesungguhnya Malaysia tidak mencari populariti, tetapi me­nelusuri anjuran Islam itu sendiri bahawa, ‘Islam itu bersaudara’ dan ‘bertolong-tolongan demi kebaikan sesama ummah’.

No comments:

Post a Comment