Friday, 23 February 2018

TANGGUNG RUGI AKIBAT SUKA BANTAH

Amalan suka berbantah-bantahan dalam perkara yang mempunyai berbagai-bagai sudut dalam menentukan ‘betul’ dan ‘salah’ adalah tindakan yang amat merugikan.  Ada pihak berasa apa yang dilakukan olehnya betul sedangkan apa yang dilakukan pihak lain salah. Besar kerugian terpaksa ditanggung akibat sukan bantah sesama sendiri.  

Bagi yang melihat perpecahan, wajib baginya melakukan usaha mengembalikan perpaduan. Usaha dilakukan itu perlu berhemah dan bukannya membawa kepada keadaan lebih buruk. 

Cara berfikir memang berbeza antara satu sama lain, tetapi agama telah menunjukkan batas-batas perbezaan itu. Hakikatnya Islam dibina atas kesatuan akidah, ibadah, akhlak, matlamat, cara hidup dan panduan yang sama iaitu al-Quran dan sunnah. 

Firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali (agama) Allah, jangan kamu berpecah belah. Ingatlah akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi satu saudara dengan kurnia-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103).

Setiap antara kita mengaku mengesakan hanya Allah Yang Satu. Justeru, matlamat hidup juga adalah satu, yakni mencari keredaan Allah. Kita menjadi hamba-Nya yang semata-mata melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.  

Sesungguhnya sesiapa yang benar-benar menghayati ajaran Islam tidak sekali-kali menyukai kepada perpecahan, keganasan dan kemusnahan. Islam diturunkan kepada manusia untuk dijadikan panduan hidup yang memenuhi fitrah manusia ingin hidup dalam sejahtera, aman dan selamat. 

Malah makna Islam sendiri membawa maksud sejahtera, aman dan selamat. Allah menyeru manusia agar menikmati kesejahteraan hidup secara mutlak melalui Islam.   

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (keamanan, kesejahteraan) secara keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).

Sesiapa menerima Islam bermakna perlu menghayati perpaduan yang membawa kepada keamanan dan kesejahteraan yang bukan saja dalam lingkungan orang Islam, bahkan seluruh manusia dan makhluk di muka bumi ini. 

Islam menegah umatnya mencetuskan sesuatu yang boleh mendatangkan perpecahan  dalam semua ertikata. Kehalusan dan ketelitian ajaran Islam mencegah berlaku perpecahan dalam hubungan sesama manusia dapat dilihat melalui perintah agar manusia sentiasa merendahkan diri. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Amat baiklah orang yang merendahkan dirinya bukan ketika dia miskin, tetapi juga ketika berada (senang).” (Hadis riwayat Tabrani dan Bazar).

No comments:

Post a Comment