Wednesday 24 January 2018

GOTONG ROYONG USUNG PINDAH RUMAH

Sebuah rumah diusung dan dipindahkan ke tempat lain? Bunyi macam pelik dan tidak masuk akal. Namun, itulah yang dilakukan masyarakat dahulu. Aktiviti bergotong-royong mengusung rumah untuk dipindahkan ke tapak lain cukup sinonim dengan masyarakat dahulu.

Rumah dipindah sama ada tapak asal ingin dibangunkan bangunan baru, kerap berlaku banjir dan pembinaan jalan baru.

Kes pembahagian harta pusaka melibatkan tanah juga menjadi sebab sesebuah rumah diusung ke tapak baru.

Pindah sebuah rumah dianggap lebih mudah dan ‘selamat’ berbanding dirobohkan dan dibina semula. Jika dirobohkan, biasanya akan ada bahagian kayu, dinding atau zink yang akan rosak dan tidak dapat digunakan semua.

Rumah yang akan dipindah akan diikat dengan batang nibung atau kayu panjang sebagai pemegang untuk diangkat atau diusung.

Semasa pengusungan dilakukan, ketinggian mengangkat perlu sama atau sekata agar tidak ada bahagian akan tercabut atau patah.

Seorang ketua akan memberi arahan agar dilakukan serentak. Biasanya jarak usungan hanya beberapa ratus meter. Tetapi ada juga jarak usungan sehingga mencecah lebih satu kilometer!

Masa diambil bergantung kepada jarak hendak dipindahkan atau bilangan orang yang terlibat. Jika ramai yang terlibat mengusung, mereka tidak perlu berhenti banyak kali. Ada yang boleh terus mengusung untuk jarak beberapa ratus meter dengan sekali angkatan.

Biarpun terasa berat dan terpaksa mengerah tulang empat kerat, namun apabila dilakukan secara bergotong royong ia berjalan dengan lancar ibarat pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing.   

Mereka yang terlibat dalam gotong royang tidak berikan sebarang bayaran. Biasanya sebagai ‘upah’ mereka dijamu dengan nasi atau bubur.

Amalan itu membentuk hubungan yang cukup akrab di kalangan penduduk kampung. Masyarakat dahulu mementingkan hubungan erat dan tolong menolong.

No comments:

Post a Comment