Monday 5 March 2018

REZEKI BERKAT WAKTU PAGI

Sebahagian kita membiarkan waktu pagi berlalu begitu sahaja tanpa melakukan kegiatan  produktif sedangkan pagi adalah waktu paling menguntungkan dan penuh harapan. Permulaan yang baik selalunya menjanjikan perjalanan hari yang baik. Manfaatkan waktu pagi untuk meraih keberkatan rezeki yang dijanjikan Allah SWT.

Bagi menjamin permulaan pagi yang baik, jangan tidur selepas solat Subuh. Kita perlu segera mengisi waktu dengan kegiatan bermanfaat seperti membaca buku, berjoging, memulakan usaha mencari rezeki dan sebagainya.  

Hal itu biasa dilakukan sahabat Nabi SAW bernama Sakhru Wada'ah. Orang yang tidur ketika pagi sengaja membiarkan dirinya tidak menjadi sebahagian daripada umat Islam yang didoakan Nabi SAW memperoleh berkat Allah.

Alangkah ruginya orang yang sengaja membiarkan pagi berlalu begitu saja tanpa melakukan sebarang kerja bermanfaat dan produktif.

Tidak hairanlah jika Nabi SAW menggerakkan pasukan perangnya untuk berjihad pada awal pagi sehingga pihak musuh terkejut dan tidak bersiap sedia menghadapinya.

Perancangan serta penyusunan kegiatan perlu bagi memastikan hari bakal mendatang penuh dengan perkara bermanfaat. Justeru, bagi memastikan pagi yang lancar jangan biasakan berjaga pada malam.

Salah satu kunci kejayaan adalah bangun awal. Ramai dapati sukar untuk bangun awal pagi, ubatnya adalah tidur lebih awal. Walaupun 30 minit lebih awal dari kebiasaan akan membantu untuk bangun awal.

Tidur awal bagi mendapatkan cukup rehat dan menyegarkan badan. Namun, itu tidak sepatutnya menghalang kita berjaga pada tengah malam untuk bangun dan bersolat yang memberi banyak kelebihan. kepada jasmani serta rohani.

Memang kita memerlukan tidur yang cukup sebagai persediaan bangun awal keesokan pagi tetapi pada masa sama, perlu diakui kegiatan tengah malam selepas tidur sekejap juga boleh memberi tenaga tambahan untuk menghadapi esok yang menanti pelbagai perkara sama ada diduga atau tidak.

Waktu pagi adalah waktu paling efektif mental dan fizikal kita selepas berehat malam hari. Orang-orang yang berjaya ramainya mengamalkan bangun awal dan memulakan kerja awal.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis riwayat Baihaqi)

No comments:

Post a Comment