Tuesday 22 December 2020

KISAH KANAK-KANAK BERKHATAN DAHULU DAN SEKARANG

 
Kisah kanak-kanak meraung dan lari keliling kampung biasa berlaku pada waktu dahulu kerana takut disunat atau dikhatan. Terpaksalah dikejar dan diusung dibawa mengadap tok mudim atau jurukhatan. Ada juga yang merajuk tidak mahu balik rumah apabila tahu akan disunatkan.

Itu kisah dahulu. Kanak-kanak lelaki ada kisah masing-masing pengalaman disunatkan atau juga dipanggil masuk jawi.

Namun, sekarang ini kisah disunatkan tidak lagi ‘gampar’. Malah ada yang disunatkan ketika masih bayi. Majoriti sekarang ini kanak-kanak lelaki disunatkan sebelum usia 10 tahun berbanding dahulu ada bersunat sebelum masuk sekolah menengah.

Kalau yang disunatkan semasa usia bayi, memang tiada apa yang boleh diingati pengalaman bersunat.

Biarpun masih ada ibu bapa memilih tok mudim kampung untuk sunatkan anak mereka, majoriti memilih cara perubatan moden atau dilakukan di hospital dan klinik.

Disebabkan menggunakan ubat bius, memang jarang kita dengar kanak-kanak meraung sakit. Jika ada yang meraung itu sebenarnya bukan kerana sakit, tetapi takut.

Dengan ditemani bapa dan ibu, mereka diyakinkan bahawa proses bersunat tidak sakit. Biarpun dilakukan secara beramai-ramai, jarang sangat bunyi meraung.

Ibu bapa akan memujuk agar jangan marung, nanti malu. Banyak orang dengar dan memerhati. Jadi, mereka kena beranikan diri.

Sebab itu, kita boleh lihat kanak-kanak menunggu sebelum masuk bilik untuk disunatkan dalam keadaan tenang dan boleh senyum lagi.

Ya... proses bersunat sekarang tidak menyakitkan. Namun, selepas hilang kebas kesan bius, rasa sakit itu akan datang. Rasa berdenyut dan tidak selesa.

Untuk cepat sembuh, kanak-kanak yang baharu disunatkan, perlu ikut pantang larang. Jangan tunjuk hero dan lagak konon tidak sakit.

Pantang pertama ialah ambil ubat sepertimana yang diberikan pihak hospital atau klinik. Ubat tersebut untuk tahan sakit dan luka cepat sembuh.

Pantang kedua ialah jangan aktif bergerak. Duduk diam-diam dan rehat. Kalau perlu bergerak, lakukan dengan perlahan-lahan.

Pantang ketiga ialah elak makan makanan yang boleh menyebabkan gatal seperti telur, udang, sotong dan ketam.

Amalan keempat ini bukan pantang, tetapi perlu dilakukan. Satu amalan perlu dilakuakan selepas bersunat ialah jaga kebersihan bahagian luka. Gunakan pencuci luka dan pembalut yang dibekalkan. Elak dari kesan cemar terutama selepas kencing.

Kalau tidak berdisiplin dalam pantang dan tidak menjaga kebersihan, ia boleh menyebabkan luka itu bernanah serta gatal-gatal. Luka akan lambat sembuh.

Jika berdisiplin ikut pantang, luka bersunat boleh sembuh kurang dalam masa tujuh hari hingga 10 hari.

No comments:

Post a Comment