Wednesday 16 December 2020

POTENSI UBI GADONG MENJADI SUMBER MAKANAN

Ubi gadong atau nama saintifiknya Dioscorea daemona merupakan sejenis ubi beracun, selamat dimakan jika dilakukan pemprosesan yang betul.

Ekstrak daripada ubi ini telah digunakan sebagai salah satu ramuan dalam penghasilan racun bagi masyarakat tradisional Melayu dalam menuba ikan dan mengawal makhluk perosak bagi penanaman padi. Selain itu ia turut digunakan oleh pengamal ilmu hitam dalam ramuan santau atau sihir.

Ubi gadung dikatakan berasal dari India tetapi tersebar luas ke Asia Tenggara di kawasan hutan sekunder, belukar dan turut ditanam di kawasan taman.

Ubi gadong jenis tumbuhan lasak yang apabila tumbuh sukar utuk mati biarpun dalam pelbagai keadaan cuaca. Ubi gadung boleh hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati.

Ubi gadong dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang hidup menjalar dan memanjat serta boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri.

Cara pemerosesan ubi gadong untuk membuang komponen sianida dalam kumpulan alkaloidnya ialah dengan cara direndam di dalam air untuk tempoh masa tertentu. 

Ubi gadong yang telah dipotong kecil dimasukkan ke dalam guni gandung atau guni yang jenis telap air dan kemudian direndam di dalam air untuk proses membuang racun (discorina) sebelum boleh dimakan atau digunakan sebagai ubatan.

Air rembesan dari ubi gadong berbau busuk dan beracun itu menyebabkan hidupan air akan menjauhkan diri. Untuk cepat hilang racun ia perlu diletakkan di tempat air mengalir.

Satu cara untuk mengetahui bahawa ubi gadong sudah selamat dimakan ialah akan ada anak-anak ikan berada berhampiran dengan guni. Bahkan, anak-anak ikan akan mematuk-matuk bahagian guni untuk mendapatkan ubi gadong yang berada di dalam.

Ubi gadung yang telah diproses ditanak dengan pulut dimakan bersama kelapa parut yang disalut sedikit garam dan gula. Rasanya enak dan menyelerakan biarpun ada sedikit bau ‘busuk’. Sebenarnya bau busuk itulah yang menjadikan atau membangkitkan selera.

Selain dikenali ubi gadong, nama lain yang digunakan ialah tuba ubi, ubi nasi, ubi cerok, ubi kendudok, ubi kipas, gadog, gadong lilin, gadong mabuk, ubi arak dan taring pelanduk

Ubi gadong membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan ubi keledek. Dalam satu liang atau pangkal pokok terdapat beberapa biji ubi dan berbentuk agak bulat dan boleh membesar sehingga mencapai beberapa kilogram, berkulit keras nipis dan terdapat akar serabut disekelilingnya.

Kulit ubi gadong berwarna coklat kekuningan atau agak gelap sedikit bergantung kepada jenis tanah. Apabila ubi gadong terlalu tua di dalam tanah kulitnya akan bertukar menjadi warna kehijauan menunjukkan ia mengandungi kuantiti racun yang tinggi. Kaedah tanaman lazimnya menggunakan keratan ubi dan jarang menggunakan biji benih atau keratan batang.

Selain sebagai sumber makanan, ubi gadong juga bermanfaat dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Masyarakat di Indonesia dan selatan China menggunakan parutan ubi gadong sebagai rawatan awal bagi penyakit kusta. Ia juga digunakan bagi mengubati penyakit kutil, kapalan dan mata ikan manakala di Thailand pula, hirisan ubi gadong digunakan untuk mengurangkan kekejangan perut juga menghilangkan nanah pada kulit akibat luka.

Masyarakat di Filipina telah menggunakan ubi gadong bagi melegakan penyakit arthritis dan rumatik. Ia juga boleh digunakan untuk membunuh kutu (belatung) yang terdapat pada luka binatang.

Bagi masyarakat Melayu di Malaysia, ubi ini akan dikeringkan sebelum dijadikan bedak untuk rawatan muka berjeragat dan jerawat. Turut dilaporkan bahawa masyarakat di negara China telah menggunakan ekstrak ubi ini sebagai alfrodisiak dan pembesaran payudara.

Ubi gadong juga bermanfaat dalam bidang pertanian. Secara semulajadi, banyak serangga yang memakan tumbuhan yang mempunyai kandungan pyrrolizidine alkaloid. Hasilnya alkaloid ini akan terkumpul di dalam badan serangga menyebabkan kerosakan saraf dan seterusnya mengakibatkan kematian.

Para petani di Kedah menggunakan ubi gadong untuk mengawal serangan perosak tanaman terutamanya ulat pengorek batang di sawah padi. Para petani akan menaburkan hirisan ubi gadong ke kawasan sawah padi. Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan dan mengawal populasi ulat pengorek. Kematian ulat pengorek mungkin disebabkan oleh racun dioscorina yang terdapat pada ubi gadong.

Kajian yang dijalankan di Jepun dan Filipina ke atas ubi gadong menunjukkan keupayaan ubi ini untuk mengawal pertumbuhan larva serangga jenis Lepidoptera (kupu-kupu). Toksin ini merencat sistem pencernaan larva Lepidoptera hingga menyebabkan pertumbuhannya terbantut dan seterusnya mengakibatkan kematian.

Ubi gadong berpotensi untuk dijadikan racun organik bagi mengawal haiwan perosak seperti ulat pengorek tanah dan siput gondang. Ubi gadong ini boleh digunakan sebagai salah satu alternatif bagi menggantikan racun kimia yang tidak menjejaskan kesihatan manusia serta mesra alam. Toksin organik ini tidak menyebabkan kesan residual, lebih selamat untuk digunakan serta jauh lebih murah.

Selain digunakan di dalam bidang perubatan dan pertanian, ubi gadong juga berpotensi digunakan sebagai pewangi kerana bunga kuning daripada ubi gadong berbau wangi dan dapat digunakan untuk mengharumkan pakaian.

Kebanyakan masyarakat di Bali telah menggunakan bunga gadong untuk mewangikan pakaian dan sebagai perhiasan rambut. Cecair kuning yang terdapat pada isi dan teras (sap) ubi gadong turut digunakan sebagai peluntur pakaian.

Ubi bukan hanya sekadar sebagai jaminan makanan dan punca mata pencarian tetapi merupakan sumber nutrisi kepada berjuta penduduk di seluruh dunia. Ubi ini kaya dengan karbohidrat, vitamin dan mineral terutamanya jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

Kebanyakan spesies ubi ini mengandungi jumlah kalium yang tinggi, di mana kalium dapat membantu untuk mengawal tekanan darah. Ubi gadong sangat sesuai dimakan oleh penghidap tekanan darah tinggi tetapi tidak digalakkan untuk pesakit yang mengalami kegagalan ginjal.

Jika dahulu, ubi gadong banyak dimakan penduduk di Malaysia dengan dipelbagaikan kaedah masakan seperti merebus, bakar, dibuat bingka dan juga kerepek. Namun kini ubi gadong tidak lagi popular disebabkan ia sukar diperoleh.

Penemuan cara lebih mudah menyahtoksin racun yang ada di dalam ubi gadung berbanding cara tradisional,  tepung ubi gadong telah berhasil untuk membuat kek, muffin serta biskut.

Selain sebagai sumber makanan, kandungan dalam ubi gadong mempunyai ciri-ciri biopesticide yang baik iaitu menunjukkan ia mempunyai potensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

Begitu juga dengan penggunaan ubi gadong untuk sumber makanan tambahan kepada haiwan ternakan dan kesemua ini membolehkan penanamannya secara komersil dilakukan lebih meluas.

Penggunaan tepung ubi gadong dalam industri pembuatan makanan juga adalah unik kerana ia turut mempengaruhi kelainan dalam tekstur dan rasa yang mempunyai keistimewaan tersendiri, berbanding tepung lain.

No comments:

Post a Comment