Tuesday, 23 April 2024

SURAU TUAN TABAL JALAN TOK SEMIAN

 
Surau Tuan Tabal yang terletak di Jalan Tok Semian, Kota Bharu.antara surau tertua yang masih kekal sejak lebih 100 tahun lalu, biarpun ada ubah suai telah dilakukan untuk mengekalkan kebolehgunaan bangunan surau tersebut.
 
Surau yang dibina oleh Tuan Tabal atau nama sebenarnya Haji Wan Abdul Samad bin Wan Muhammad Saleh al Kelantani (1840-1891), ditubuhkan sekembalinya beliau dari menuntut ilmu di Makkah sekitar tahun 1868.
 
Tuan Tabal merupakan murid Syeikh Ibrahim al Rasyid iaitu murid Imam Ahmad ibn Idris, Pelopor Tarekat Ahmadiah Muhammadiah. Tuan Tabal mengambil ilmu dan ijazah Tarekat Ahmadiah Muhammadiah daripada Syeikhnya dan menjadi penyebar terawal Tarekat Ahmadiah Muhammadiah di Malaysia.
 
Tuan Tabal berasal dari Tabal atau Tak Bai yang kini berada dalam Wilayah Selatan Thailand. Sekitar tahun 1870, Tuan Tabal telah berhijarah ke Kota Bharu atas jemputan mengajar oleh kerabat Diraja Kelantan.
 
Beliau kemudiannya dikahwinkan oleh Haji Wan Abdul Rahman bin Lebai Muda atau dikenali sebagai Tok Semian dengan anaknya yang dikenali sebagai Wan Kalsom atau Wan Som. Tok Semian adalah jawatan jurutulis kepada Sultan Kelantan pada ketika itu.
 
Di Kota Bharu beliau telah mendirikan sebuah surau di Jalan Tok Semian yang terletak tidak jauh dari Masjid Besar Muhammadi. Di surau bertuah inilah Tuan Tabal mengajar penduduk kampung dan para penuntut ilmu yang datang untuk mempelajari ilmu agama daripada beliau.
 
Tuan Tabal meninggal dunia pada usia muda sekitar 51 tahun. Perjuangan dakwah beliau diteruskan oleh anaknya Wan Musa bin Wan Abdul Samad (1875-1939). Wan Musa adalah seusia dengan Muhammad Said al Linggi (1875-1926).
 
Melalui didikan dan pengajarannya di surau Tuan Tabal ini, Wan Musa berhasil melahirkan ramai ulama terkenal tanah air antaranya Ibrahim bin Dahan (1907-1997) dari Bongek, Negeri Sembilan dan Abdul Wahid bin Othman (1910-1991) dari Sungai Udang, Melaka.
 
Kewibawaannya Wan Musa juga telah melayakkan beliau dilantik sebagai mufti Kelantan bermula tahun 1909 sehingga tahun 1916. Jawatan tersebut kemudiannya disandang pula oleh abangnya Wan Muhammad bin Wan Abdul Samad sehingga tahun 1920.
 
Surau Tuan Tabal masih digunakan sehingga sekarang biarpun tidak seaktif dahulu.




No comments:

Post a Comment