Isu sebut kafir atau bukan muslim hanyalah
isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian, tidak timbul
langsung sebenarnya isu melarang daripada guna perkataan yang diguna oleh
al-Quran.
Pihak yang menuduh sedemikian terang-terang
sedang memanipulasi isu dan bersungguh-sungguh mahu menuduh lawannya
meninggalkan ungkapan al-Quran, padahal Al-Quran sendiri tidak hanya menggunakan
perkataan kafir dan sebanding dengannya seperti kafirun dan kuffar setiap kali
merujuk kelompok bukan Muslim.
Bahkan, dalam al-Quran, ada ayat-ayat yang
memanggil mereka sebagai “wahai ahli kitab” dalam cukup banyak ayat seperti
dalam surah Ali ‘Imran: 64, 65, 70, 71, 98 dan 99, dan surah al-Nisa’: 15, 19,
59, 68 dan 77.
Selain itu, al-Quran juga mengandungi ayat
yang berbicara kepada semua termasuk orang kafir dengan memanggil mereka “wahai
manusia”. Contohnya dalam surah al-Baqarah: 21, 168 dan 264, dan al-Nisa’: 1,
170 dan 174.
Al-Quran juga memanggil secara umum
termasuk bukan muslim dengan sebutan “wahai anak Adam” sebagaimana dalam surah
al-A’raf: 26, 27, 31, 35 dan 172. Di sesetengah ayat, al-Quran merujuk kepada
manusia termasuk bukan muslim sebagai “wahai para hamba-Ku” seperti dalam surah
al-Zumar, ayat 53.
Malah, menurut al-‘Allamah Yusuf
al-Qaradawi rahimahullah, al-Quran tidak menyebut perkataan “wahai orang kafir”
melainkan dalam dua ayat sahaja iaitu surah al-Tahrim, ayat 7 dan surah al-Kafirun.
Penggunaannya dalam surah al-Tahrim, ayat 7
adalah dalam konteks bicara Allah kepada golongan kafir di akhirat. Manakala
perkataan “wahai orang kafir” dalam surah al-Kafirun pula ditujukan kepada
golongan musyrik penyembah berhala yang sedang membuat tawaran kepada
Rasulullah SAW untuk mereka menyembah berhala satu tahun dan kemudian menyembah
Allah pada tahun yang lain.
Surah al-Kafirun mahu menolak tawaran ini
dengan gaya bahasa yang tegas dan arahan yang nyata tanpa sebarang kompromi.
Lantas, baginda diperintahkan agar berbicara kepada mereka dengan muktamad
termasuk dengan mengulang dan mempertegas.
Meskipun begitu, surah ini tetap diakhiri
dengan ayat yang membuka pintu toleransi kepada bukan Muslim iaitu “Bagi kamu
agamamu, bagiku agamaku.”
Malah, kata al-Qaradawi lagi dalam karangan
beliau yang berjudul Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah:
“… Termasuk dalam makna berdakwah dengan hikmah dan mau’izah hasanah (pengajaran yang baik) dan berdebat dengan cara terbaik yang menjadi tuntutan kepada orang Islam khususnya pada zaman globalisasi ini adalah untuk tidak berbicara dengan pihak yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan nama al-Kuffar (wahai golongan kafir) walaupun sememangnya kita beriktikad dengan kekufuran mereka. Apatah lagi jika pihak yang berbeza dengan kita itu adalah dari kalangan Ahli Kitab.”
Timbul pula dakwaan bahawa tindakan ini
bererti menjaga hati orang kafir dan tindakan mengalah kepada mereka. Namun
al-‘Allamah al-Qaradawi membantah dakwaan itu dengan menjawab:
“Saya tidak faham mengapa bentuk ucapan
yang sopan santun begini dianggap sebagai “mengalah” dari pihak kita? Apa
sebenarnya yang kita telah mengalah? Kita tidak sesekali mengalah dari segi
iktikad bahawa agama kita adalah agama yang benar dan selainnya adalah batil.
Kita juga tidak mengalah dari pegangan kita bahawasanya mereka yang tidak
beriman dengan risalah Baginda Nabi Muhammad SAW adalah kafir. Inilah pegangan
golongan beragama yang meyakini bahawa agamanya adalah benar, manakala
selainnya adalah batil. Tidak sempurna iman seseorang melainkan dengan
keyakinan ini.
“Namun demikian, berbicara dengan pihak
yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan yang menyakiti mereka,
mencederakan perasaan mereka atau menjauhkan mereka dari agama Allah adalah
satu isu yang berbeza. Allah SWT tidak menuntut pun kita untuk berbicara
sedemikian, sebaliknya Allah SWT mengarahkan kita dengan arahan yang sepenuhnya
berbeza.” (Al-Qaradawi, Yusuf, Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah, hlm.
44-45)
Maksudnya, dalam berinteraksi dengan
mereka, Allah mengarahkan kita agar berbicara dengan penuh hikmah, pengajaran
yang baik dan jika berdebat pula, perdebatan itu berlaku dengan cara terbaik.
Malah, panggilan yang baik juga sebenarnya sesuai dengan fitrah kita.
Oleh itu, di tanah air kita, panggilan
bukan Muslim sudah digunakan secara meluas, malah kumpulan Islam yang kononnya
bertegas dengan isu ini juga menggunakan perkataan “Bukan Muslim” semasa
merujuk anggota dan penyokong mereka dalam kalangan bukan Muslim.
Marwan Bukhari
Penulis, Penterjemah, Penyelidik
“… Termasuk dalam makna berdakwah dengan hikmah dan mau’izah hasanah (pengajaran yang baik) dan berdebat dengan cara terbaik yang menjadi tuntutan kepada orang Islam khususnya pada zaman globalisasi ini adalah untuk tidak berbicara dengan pihak yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan nama al-Kuffar (wahai golongan kafir) walaupun sememangnya kita beriktikad dengan kekufuran mereka. Apatah lagi jika pihak yang berbeza dengan kita itu adalah dari kalangan Ahli Kitab.”
Penulis, Penterjemah, Penyelidik
No comments:
Post a Comment