Monday 4 January 2021

BAHAN BINAAN MEMBINA RUMAH KAYU

Rumah-rumah Melayu tradisi diperbuat daripada bahan-bahan kayu yang boleh didapati di persekitaran dan juga kawasan-kawasan hutan.  
 
Kayu merupakan elemen yang sangat sesuai, kerana ianya memiliki sifat-sifat alamiah yang baik dalam membentuk kerangka rumah. 
 
Kayu juga memiliki sifat elastik atau keanjalan yang mudah dibentuk dalam proses pembinaan rumah. 
 
Jenis pokok kayu yang menjadi pilihan utama dalam membina bangunan rumah adalah seperti kayu mentaling (gelegar tiang dan bendul), serai (gelegar, alang, rasuk dan jejenang), merbau (tiang, rasuk dan tangga), cengal (tiang dan rasuk), bakau kurap (tiang, rasuk, alang dan kasau), bakau minyak (tiang, alang dan kasau), lengadai (tiang) dan kulim (gulung-gulung, kasau, tunjuk langit dan tulang bumbung). 
 
Bagi bahan-bahan yang bersumberkan buluh pula adalah seperti buluh lentik atau buluh kasap (lantai, dinding dan kasau betina), buluh temi (lantai dan dinding), buluh akar (lantai dan dinding), buluh beting (tiang, gelegar, rasuk dan bendul) dan buluh minyak (lantai, dinding, gelegar, kasau dan alang). Bahan-bahan lain adalaah seperti batang pinang, bayas, rengas, keruing, balau dan sebagainya. 
 
Biarpun pada masa dahulu terdapat banyak pokok di persekitaran, tetapi ada jenis pokok tertentu hanya ada di dalam hutan.  
 
Biasanya orang-orang tertentu terutamanya tukang rumah terpaksa masuk ke hutan selama berbulan-bulan untuk mencari pokok kayu yang sesuai. 
 
Mencari kayu di hutan adalah satu tugas yang lebih berat daripada membina rumah kerana terdapat banyak risiko dan halangannya. Oleh yang demikian, orang-orang yang ditugaskan untuk mencari kayu lebih dari lima orang. 
 
Hal ini menyebabkan proses pembinaan rumah mengambil masa yang panjang dan bertahun-tahun untuk disiapkan bergantung kepada saiz dan kedudukan kewangan orang yang ingin memiliki rumah. 
 
Masa yang begitu lama untuk membina rumah bukanlah disebabkan kelemahan dan tukang mahir tukang-tukang rumah Melayu. Tetapi adalah disebabkan faktor-faktor lain seperti masa yang begitu panjang untuk mencari kayu, proses menjadikan peralatan rumah dan juga masalah kewangan oleh rumah. 
 
Kayu-kayu atau kerangka rumah seperti tiang, rasuk, gelegar, alang dan sebagainya terlebih dahulu direndam di dalam sungai hingga berbulan-bulan lamanya supaya kayu-kayu itu tidak mudah dimakan bubuk atau serangga perosak. Oleh itu, jenis kayu yang digunakan mestilah dari jenis-jenis kayu yang baik dan keras. 
 
Kerja-kerja memotong dan membelah kayu dilakukan dengan cara menggergaji menggunakan tenaga empat kerat. Manakala untuk melicinkan batang kayu atau papan pula menggunakan ketam kayu yang juga menggunakan kekuatan tenaga. 
 
Untuk memunggah kayu dari tempat asal ke tapak rumah juga menggunakan tenaga manusia. 
 
Itulah cabaran besar untuk membuat rumah pada masa dahulu.

No comments:

Post a Comment