Ada orang tidak suka lauk yang dipanaskan
semula. Hendak yang baru dimasak untuk dimakan. Tabiat ini sebenarnya boleh diubah.
Zaman dulu memang kena masak baru sentiasa.
Sebab tidak ada peti sejuk hendak disimpan untuk mengelak basi.
Sekarang sudah ada peti sejuk. Makanan
boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk mengelak menjadi basi. Boleh disimpan
lama. Kalau diletakkan di dalam bekas kedap air, boleh diletakkan di bahagian
beku. Boleh simpan lama. Gulai boleh disimpan berbulan-bulan.
Apabila hendak makan boleh dipanaskan
semula. Gulai yang telah beku akan cair kembali seperti sebelumnya. Tidak ada
istilah tidak boleh makan lauk yang dipanaskan balik. Jangan mengada-ngada.
Kalau tidak mahu amalkan memanaskan kembali
makanan, pastikan ketika memasak atau membeli hanya kuantiti yang ingin dimakan. Tidak perlu
dimasak banyak-banyak yang pastinya tidak habis dimakan.
Jangan masak banyak hanya disebabkan suka
memasak, sedangkan tidak habis dimakan. Jika memang suka memasak banyak,
agih-agihkan makanan itu kepada jiran-jiran. Memang dapat pahala dan kalau yang
suka dipuji tentu sekali jiran akan memuji dan berterima kasih.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Apabila kamu memasak satu kuali, maka banyakkan airnya
(kuah). Kemudian lihatlah kepada sesetengah jiran tetanggamu untuk diberikan
kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim).
Ada juga orang memasak banyak disebabkan
ingin ambil gambar dan dikongsikan di media sosial. Hakikatnya, makanan itu
tidak dimakan pun. Buat macam-macam jenis hanya hendak dijadikan kandungan di
media sosial. Inilah penyakit buruk apabila menjadi hamba kepada media sosial.
Elak sikap membazir makanan dan apa-apa jenis
pembaziran sekalipun. Firman Allah
bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah
al-Araf, ayat 31).
No comments:
Post a Comment