Lima alasan
boleh dijadikan motivasi untuk tidak merokok.
1.
Merokok haram di sisi agama Islam. Hukum merokok bukan lagi makruh seperti
difahami kebanyakan perokok. Muzakarah
Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok
adalah perbuatan haram di sisi agama Islam.
Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Sesiapa merokok bermakna melakukan dosa dan
siapa tidak merokok (disebabkan tahu ia berdosa) akan mendapat pahala.
Merokok adalah satu jenayah terhadap
diri sendiri. Perokok menjermuskan diri
dalam jurang kebinasaan. Islam
mengharamkan umatnya melakukan perbuatan yang mendatangkan mudarat. Tindakan menjauhkan diri sendiri dan keluarga
dari kemudaratan adalah wajib dilakukan.
2.
Mudaratkan diri sendiri.
Umum diketahui perbuatan merokok mendatangkan mudarat kepada perokok
dari segi kesihatan. Hakikatnya, tidak
ada pihak menyangkalnya kerana di setiap kotak rokok tertulis: “Amaran Oleh
Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan”.
Berdasarkan statistik dikeluarkan
Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap tahun 10,000 rakyat Malaysia mati akibat
penyakit berkaitan dengan tabiat merokok.
Jumlah itu besar berbanding kematian disebabkan penyakit lain.
Kajian perubatan mendapati 90
peratus pengidap barah berpunca perbuatan merokok. Barah paru-paru adalah kanser paling tinggi
berlaku di kalangan perokok. Barah paru-paru
pembunuh nombor satu di dunia.
Individu mengidap barah paru-paru
tidak mempunyai peluang panjang untuk terus hidup lama. Kira-kira 95 peratus pesakit barah paru-paru
meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas disahkan mengidapnya.
Selain barah paru-paru, perokok juga
terdedah kepada barah mulut, barah tekak, barah esofagus, barah rahim dan barah
pankreas. Selain berkaitan barah, perokok
juga mudah mendapat penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang
daya kecerdasan otak dan lemah tenaga batin.
3. Mudaratkan pihak lain. Individu yang berada di samping perokok juga
mendapat kesan buruk perbuatan perokok.
Mereka dipanggil perokok pasif, yang mana menyedup asap yang dibebaskan
oleh perokok.
Asap rokok yang dibebaskan oleh
perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati
ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen
penyebab barah dan 10 logam berat.
ETS memberi kesan rokok kepada
perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan
tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali
ganda bahan menyebabkan kanser.
Jadi, tidak tepat dikatakan tindakan
perokok adalah urusan diri sendiri dan tidak melibatkan masalah kepada pihak
lain.
4.
Mengganggu hubungan dengan bukan perokok. Biasanya individu bukan perokok sudah tentu
tidak suka akan perokok yang merokok berhampiran mereka. Perasaan tidak puas hati akan mengganggu
hubungan baik yang sedia terjalin.
Dalam keadaan ini, bukan perokok
yang tidak tahan dengan asap rokok terpaksa mengalah meninggalkan perokok. Sepatutnya, perokok perlu menjaga perasaan
bukan perokok dan tidak merokok di situ.
Jika ingin merokok, carilah tempat yang jauh daripada orang ramai. Sebab itu, kerajaan menguatkuasakan larangan
merokok di tempat awam bertujuan menjaga hak orang ramai.
5.
Menjejaskan ekonomi perokok.
Wang yang dibelanjakan untuk merokok terbakar tanpa memberi sebarang
faedah. Bagi perokok berpendapatan
rendah, wang yang digunakan untuk membeli rokok sekitar 50 peratus daripada
pendapatan harian. Islam menegah
perbuatan membazir dan membelanjakan wang kepada perkara sia-sia.
No comments:
Post a Comment