Hak kebebasan asasi manusia bukan perkara mutlak. Ada batasan
ditetapkan agama sebagai cara hidup untuk mengelak perkara buruk.
Namun di kebanyakan negara barat yang mengamalkan sekular, urusan
agama hanya di rumah ibadat. Perkara lain dalam kehidupan rakyat ditentukan
oleh undang-undang.
Dalam hubungan ini, kita dapat melihat perbezaan yang ketara
antara fahaman hak asasi Barat dengan Islam.
Fahaman hak asasi Barat berpaksikan anthropocentric yang menjadikan
manusia sebagai penentu nilai. Ini disebabkan tanggapan bahawa akal manusia
merupakan pertimbangan utama.
Sebaliknya, hak asasi manusia yang menjadi asas pandangan hidup
umat Islam berdasarkan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunah menjadi neraca atau
penentu nilai.
Asas kefahaman yang berbeza ini mendatangkan kesan yang berbeza.
Di Barat, atas nama hak asasi manusia, segalanya dibenarkan tanpa difikir
persoalan kebenaran, keadilan dan adab.
Buktinya, hubungan seks bebas, perlakuan dan orientasi seks
songsang, perkahwinan sesama jenis, keinginan untuk bertukar jantina secara
sesuka hati dan segala bentuk kejelekan berteraskan nafsu syahwat liar dianggap
sebagai sesuatu yang normal dan munasabah.
Sebaliknya, Islam membataskan kebebasan manusia dan menjadikan ia
tertakluk pada asas-asas adab dan akhlak. Asas-asas adab dan akhlak ini pula
dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Dengan yang demikian, menurut Islam, tidak wujud sama sekali
kebebasan yang bersifat mutlak, apatah lagi kebebasan liar yang berteraskan
nafsu dan syahwat.
Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan Perkara 3 yang
menyatakan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Bagaimanapun Perkara 11
memberi kebebasan beragama yang mana penganut agama lain boleh mengamalkan
agamanya secara aman dan bebas.
Berdasarkan kepada Perkara 3 itulah Islam ditegakkan di Malaysia.
Apa-apa perkara yang bertentangan dengan Islam, maka ia juga akan bertentangan
dengan perlembagaan, melainkan itu berkaitan dengan agama lain.
Contohnya dalam soal amalan perkahwinan sejenis ternyata
bertentangan dengan kehendak agama Islam. Maka, sama sekali amalan itu tidak
boleh dibenarkan di Malaysia.
Dan tiada mana-mana pihak boleh memohon untuk dibenarkan atas
alasan agama lain membenarkannya. Kerana, hal tersebut ternyata tiada mana-mana
agama yang mengatakan ia satu perkara dibenarkan oleh agama mereka.
Amalan perkahwinan sejenis diperjuangkan golongan mendakwa atas
dasar hak asasi manusia dan bukan tuntutan agama.
Maka atas dasar mana-mana perkara bertentangan dengan agama Islam,maka
hendaklah diharamkan, melainkan atas keperluan agama lain, amalan LGBT tidak akan
mendapat tempat di Malaysia.
Ketika mana-mana pihak merangka rang undang-undang baharu, maka mestilah
bertepatan dengan kehendak Islam dan perlembagaan negara.
No comments:
Post a Comment