Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdullah diceritakan, bahawa Rasulullah SAW
pernah mengirimkan suatu angkatan, kemudian mereka itu mendapatkan seekor ikan
besar yang sudah menjadi bangkai. lkan itu kemudian dimakannya selama 20 hari
lebih. Setelah mereka tiba di Madinah, diceriterakanlah hal tersebut kepada
Nabi, maka jawab Nabi:
"Makanlah rezeki yang telah Allah
keluarkan untuk kamu itu, berilah aku kalau kamu ada sisa. Lantas salah seorang
di antara mereka ada yang memberinya sedikit. Kemudian Nabi memakannya."
(Hadis riwayat Bukhari)
Dr Ysof Al-Qaradawi menyebut:
Binatang laut iaitu semua binatang yang
hidupnya di dalam air. Binatang ini semua halal, didapat dalam keadaan
bagaimanapun, apakah waktu diambilnya itu masih dalam keadaan hidup ataupun
sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang tersebut berupa ikan
ataupun yang lain, seperti: anjing laut, babi laut dan sebagainya.
Bagi yang mengambilnya tidak lagi perlu
diperbincangkan, apakah dia seorang muslim ataupun orang kafir. Dalam hal ini
Allah memberikan keleluasaan kepada hamba-hambaNya dengan memberikan perkenan
(mubah) untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun yang diharamkan dan
tidak ada satupun persyaratan untuk menyembelihnya seperti yang berlaku pada
binatang lainnya.
Firman Allah SWT: "Dialah Zat yang
memudahkan laut supaya kamu makan daripadanya daging yang lembut." (Surah
an-Nahl, ayat 14)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dihalalkan
buat kamu binatang burunan laut dan makanannya sebagai perbekalan buat kamu dan
untuk orang-orang yang belayar." ( Surah al-Maidah, ayat 96)
Ulama mazhab Syafii berbeza pandangan
berkaitan hukum memakan ikan yang dimasak tanpa dibuang perut dan najisnya. Ulama
mazahab lain mengatakan harus.
Walau bagaimanapun menurut Syeikh al-Sayyid
Abdul Rahman Ba ‘Alawi al-Hadhrami; Ibn Hajar, Ibn Ziyad, al-Ramli dan
lain-lain telah bersepakat mengatakan bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan
yang kecil sama ada darah atau najisnya adalah suci dan harus memakannya berserta
kotoran tersebut. Sesungguhnya ia tidak dianggap menajiskan minyak (masakan).
Bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut
berlaku juga kepada ikan yang besar kerana bagi mazhab kita terdapat satu qaul
(pendapat) yang kuat mengatakan bahawa ikan tidak mempunyai darah.” (Bughyah
al-Mustarsyidin 15).
Menurut al-Bujairimi, kadar yang dikirakan
sebagai saiz kecil atau besar adalah berdasarkan uruf. Manakala menurut Ali
al-Syabramallisi pula, saiz yang kecil adalah sekadar dua jari dan selebihnya
dikirakan saiz besar (I’anah al-Talibin 91/1).
Disebutkan dalam keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-107 yang bersidang pada 10 – 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak
Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat
keputusan seperti berikut:
- Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah
dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut
ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada
dalam al-Quran ataupun Sunah Rasulullah SAW, Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan
lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil
sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap
najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan
yang besar.
- Sekiranya ia dihukum bersih, syarak
menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang
dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka
tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
- Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang
perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu
sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa
industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi
standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan,
serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada
kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang
diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan
tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.
No comments:
Post a Comment