Sikap manusia yang tidak mahu bersyukur dan menghargai setiap kurniaan daripada alam semesta membuatkan mereka tidak merasakan apa-apa hubungan yang perlu dijaga berkaitan alam semesta. Sikap tersebut ternyata bertentangan dengan suruhan Allah dalam soal memanfaatkan sumber alam itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan Dialah Allah yang menundukkan lautan untuk kamu agar kamu dapat makan daging segar (ikan) dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai dan kamu melihat kapal berlayar padanya dan supaya kamu mencari (keuntungan) daripada kurniaan-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, ayat 14).
Lautan yang luas merupakan sumber ikan yang menjadi punca utama protin. Namun sekarang lautan sering ‘diganggu’ oleh tangan-tangan yang mencari jalan mudah mendapat keuntungan.
Contohnya perbuatan menangkap ikan secara bom banyak merosakkan terumbu karang yang menjadi tempat ikan mencari makan, membiak dan perlindungan daripada musuh. Sekiranya terumbu karang tiada lagi, maka ia mengganggu ekologi ikan yang akan menyebabkan kuantitinya berkurangan. Sekarang ini sudah ada tempat yang dahulunya dihuni banyak ikan kini semakin kurang.
Keadaan ini jika tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan kerugian besar kepada manusia. Ramai nelayan yang akan hilang punca pendapatan dan manusia keseluruhannya akan menghadapi masalah kekurangan sumber ikan untuk dimakan.
Dalam sektor pelancongan, masalah kerosakan terumbu karang akan menyebabkan jumlah pelancong yang datang ke negara kita menjadi kurang.
Jelaslah menjaga alam sekitar merupakan satu perkara penting. Tugas ini menepati tujuan kejadian manusia. Di dalam Tafsir al-Azhar, Hamka menggariskan matlamat kehidupan manusia di dunia adalah untuk mengabadikan diri kepada Allah, menjadi khalifah memakmurkan alam, beramal soleh dan mengharapkan keredaan Allah di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya tugas ini bukanlah satu perkara sukar untuk dilaksanakan oleh manusia yang menyedari tujuan hidupnya. Bahkan, manusia telah dijadikan dengan sebaik-baik kejadian agar dapat melaksanakan tugas tersebut.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, ayat 4). Justeru, mengapakah manusia bertindak sebaliknya di atas apa yang sepatutnya dilakukan.
No comments:
Post a Comment