Sebagai umat Islam, kita mesti yakin bahawa undang-undang Allah adalah undang-undang terbaik. Dalam melaksanakan undang-undang ini, sebagai manusia yang banyak kelemahan, kerajaan-kerajaan Islam yang lampau dan masa kini pasti tidak akan terkecuali dari memiliki kelemahan-kelemahan.
Oleh itu, pelaksanaan hudud yang "sempurna", yang bebas dari kelemahan seratus peratus sememangnya sukar dilaksanakan. Dengan mengecualikan zaman Rasulullah SAW, Khulafa Ar-Rasyidin dan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, selain mereka, pemimpin dalam kerajaan Islam lain tidak terlepas dari memiliki kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun, usaha mereka untuk melaksanakannya harus dipuji.
Dalam kalangan pemimpin terdahulu yang berusaha untuk menuju ke arah pelaksanaan hudud yang ‘sempurna' walaupun mereka pada hakikatnya gagal mencapai piawaian zaman Rasulullah dan Khulafa' Ar-Rasyidin.
Contoh, sejarah kerajaan Islam Moghul di India. Jika dibandingkan zaman pemerintahan Akbar Khan yang mengabaikan pelaksanaan hukum Islam dan zaman pemerintahan cicitnya iaitu Aurangzeb, yang didakwa oleh sebahagian sejarawan India sebagai ‘ekstremis’, ternyata zaman pemerintahan Aurangzeb lebih baik.
Akidah umat Islam di zaman Aurangzeb terpelihara dengan baik dan penyebaran agama Islam berlaku dengan pesat. Tidak seperti di zaman Aurangzeb, telah muncul di zaman Akbar Khan golongan "Din Ilahi" dari kalangan rakyat terutamanya yang berasal beragama Islam. Lebih malang lagi, beliau didakwa menyokong fahaman ini yang jelas keluar dari Islam.
Tidak syak lagi, kemunculan golongan ini kerana keengganan Akbar Khan untuk melaksanakan undang-undang Islam serta memandang sinis terhadapnya. Malah beliau juga tidak terkecuali melakukan kezaliman seperti menghukum ulama yang memfatwakan kesesatan beliau.
Walau apa pun kritikan sejarawan terhadap dasar pemerintahan Aurangzeb, beliau telah memerintah kerajaan Moghul dengan jayanya di samping membuktikan jasa-jasanya kepada Islam terutama dalam pengukuhan akidah rakyat, penyebaran Islam dan pembukuan ‘Fatawa Hindiyyah’.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam beberapa kejadian, ada kerajaan Islam yang melakukan kezaliman dalam melaksanakan undang-undang hudud, antaranya akibat dari ketidakadilan dalam proses perbicaraan dan pengadilan.
Namun yang patut disalahkan ialah pemimpin tersebut, bukan undang-undang hudud. Perlu kita ketahui bahawa keadilan itu wajib disertai dalam melaksanakan hudud. Tanpa keadilan sesuatu hukuman hudud itu bukanlah hudud yang sebenar.
Selain itu, jika kita mengkaji sejarah Islam yang panjang tentang kerajaan-kerajaan Islam yang melaksanakan undang-undang Islam ini, kita akan mendapati bahawa lebih banyak yang membawa keadilan dan kejayaan berbanding dengan kezaliman dan kegagalan. Kita lihat sahaja pada sejarah kerajaan Islam Uthmaniyyah. Adakah mereka mengamalkan hudud yang sempurna sebagaimana Rasulullah SAW?
Mereka juga tidak terlepas dari kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun ketika umat Yahudi dihalau dan diseksa dengan kejam di Andalusia melalui "Dekri Alhambra" pada 1492 oleh kerajaan Kristian Sepanyol pimpinan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand, mereka memilih Istanbul sebagai tempat perlindungan dan tempat mendapatkan keadilan yang mana pada ketika itu berada di bawah pimpinan Sultan Beyazid II dari Uthmaniyyah.
Persoalannya di sini, adakah pemimpin-pemimpin dunia yang mana pada hari ini melaksanakan undang-undang warisan penjajah, telah melaksanakannya dengan sempurna?
Masih terdapat banyak kelemahan dan kezaliman yang berlaku dalam negara-negara Islam walaupun mereka tidak mengamalkan undang-undang Islam. Lihat sahaja kekejaman yang dilakukan oleh Basyar Al-Assad sedangkan dia tidak mengamalkan undang-undang Islam.
Prinsip kekebalan raja-raja ini telah pun diamalkan oleh kerajaan-kerajaan monarki di Eropah seperti England, Perancis, Denmark dan sebagainya walaupun mereka tidak mengamalkan hudud.
Tidak dinafikan bahawa kewujudan sistem kekebalan pada pemerintah ini bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW. Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita mendakwa bahawa pelaksanaan hudud dalam sistem sebegitu akan membawa kegagalan seratus peratus.
Persoalannya mengapa ketidaksempurnaan pada pelaksanaan undang-undang warisan penjajah ini tidak dikritik sehebat ketidaksempurnaan dalam melaksanakan undang-undang Islam?
No comments:
Post a Comment